Motosikal

CFMOTO 500SR VOOM DIDEDAHKAN – ENJIN 4-SILINDER, ‘TOP SPEED’ 230KM/J

CFMoto telah mendedahkan model serba baharu menerusi CFMoto 500SR VOOM yang bakal menembusi pasaran global tidak lama lagi. 

Walaupun CFMOTO memaklumkan 500SR VOOM ini hanya untuk pasaran domestik China sahaja setakat ini namun kenyataan itu bukan perkara baharu kerana beberapa model yang dipasarkan di pasaran global ketika ini juga pada awalnya dinyatakan hanya untuk pasaran domestik sahaja. Ini kerana CFMOTO terlebih dahulu perlu menilai pasaran yang sesuai selain mengambil kira penguatkuasaan emisi yang berbeza mengikut negara.

Ini merupakan kali pertama CFMoto mempamerkan rupa yang lebih jelas dan siap sepenuhnya selepas mensiarkan prototaip tahun lalu bersama 675SR.

Walaupun info terperinci masih belum didedahkan kepada umum namun berdasarkan video berdurasi 41 saat yang dimuat naik ke YouTube kami boleh kenal pasti beberapa aspek mengenai motosikal baharu ini. 

Pertamanya, CFMoto 500SR VOOM merupakan motosikal segmen ‘supersports’ yang tampil dengan reka bentuk neo-retro. Reka bentuk ini merupakan satu kejutan kerana prototaip awal jelas menampakkan bentuk 450SR.

Elemen paling menonjol terarah kepada lampu LED hadapan berbentuk bulat berkembar yang juga bertindak sebagai corong udara bagi sistem Ram-Air seperti yang ditayangkan di dalam video. Untukr rekod, Ram Air merupakan sistem yang menyalurkan udara bertekanan tinggi ke dalam enjin ketika kelajuan tinggi agar aliran kuasa lebih efisien.

Selain itu, juga kelihatan lampu belakang LED berbentuk bulat, ekzos berkembar, handlebar jenis ‘clip-on’, brek hidraulik, skrin TFT berwarna serta ‘steering dampener’ yang disertakan secara standard. 

Dalam pada itu, ciri paling utama yang diketengahkan 500SR VOOM ini tentunya penggunaan enjin 4-silinder 500cc serba baharu. Kami difahamkan, platform baharu itu dibangunkan sepenuhnya CFMoto sendiri dan merupakan model SR paling berkuasa selepas 250SR dan 450SR. 

Walaupun angka kuasa tidak dinyatakan namun kami menjangkakan model ini menawarkan antara 70 hinggga 80hp sekaligus meletakkan 500SR VOOM sebagai jentera paling berkuasa dalam segmennya. Sebelum ini, CFMoto turut mendedahkan 500SR ini mampu merekodkan kelajuan maksima (top speed) 230km/j.

Kami akan bawakan maklumat lebih terperinci sebaik menerima info yang lebih mendalam. 

GALERI: CFMOTO 500SR VOOM

Google ads
Back to top button