
EICMA2026: CFMOTO DEDAH RUPA SEBENAR V4SR-RR – 210HP, TOP SPEED LEBIH 310KM/J
Selepas mengumumkan model prototaip tahun lalu, CFMOTO dengan rasminya mendedahkan rupa sebenar (production ready) V4SR-RR serba baharu.
Superbike pertama dari CFMOTO itu didedahkan kepada orang ramai di EICMA 2026 yang berlangsung di Milan, Itali.

Selain mendedahkan rupa sebenar, CFMOTO turut mengumumkan spesifikasi utama yang bakal ditawarkan pada model V4SR-RR tersebut.
Sebelum itu, menggerakan V4SR-RR ini adalah enjin V4 997cc 90-darjah yang berupaya menghasilkan 210hp pada 15,000rpm. Menariknya, enjin tersebut juga dilengkapi dengan counter-rotating crankshaft yang diilhamkan dari MotoGP selain rod penyambung (connecting rods) titanium dari Pankl.

Ciri utama yang terdapat pada V4SR-RR adalah active-aero yang pertama kali diperkenalkan pada jentera dua roda. Setiap winglet dikawal berasingan dan boleh bergerak secara bebas antara satu sama lain.
CFMOTO mendakwa sistem tersebut menghasilkan downforce sebanyak 20% sebaik membrek dari 160km/j berbanding winglet yang tidak bergerak. Menariknya, winglet tersebut juga akan bergerak bagi membantu motosikal menukar haluan secara efisien.

Antara komponen penting lain tersenarai termasuk suspensi Öhlins boleh laras sepenuhnya, ekzos titanium Akrapovic, brek Brembo Hypure dan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4. Sementara itu, CFMOTO mendakwa berat kering V4SR-RR ini hanyalah 180kg.
Dalam pada itu, CFMOTO turut memperkenalkan V4SR-RR versi Carbon Black yang merupankan versi lebih ekstrim dan track-focused.

Ketika artikel ini ditulis, CFMOTO menjelaskan terdapat beberapa lagi kelengkapan dan ciri sedang dalam pertimbangan untuk ditambah.
GALERI: CFMOTO V4SR-RR
























