Artikel Pilihan

VINFAST DISAMAN DI AMERIKA, GAGAL SIAPKAN KILANG DALAM MASA DITETAPKAN

Nama VinFast pernah disebut sebagai antara pengeluar kenderaan elektrik paling agresif dari Asia Tenggara. Dalam tempoh singkat, syarikat dari Vietnam itu cuba memasuki ke pasaran global dengan strategi yang sangat berani termasuklah membuka kilang sendiri di Amerika Syarikat.

Tetapi kini, projek mega mereka di negeri North Carolina bertukar menjadi kontroversi besar.

Kerajaan negeri North Caroline secara rasmi memfailkan saman terhadap VinFast selepas mendakwa VinFast gagal memenuhi janji untuk membina kilang EV besar yang sebelum ini diumumkan dengan penuh gilang-gemilang. Isu ini mula menarik perhatian ramai selepas laporan diterbitkan oleh beberapa media tempatan Amerika.

Pada tahun 2022, VinFast mengumumkan pelaburan berbilion dolar untuk membina kilang pemasangan EV di Chatham County, North Carolina. Ketika itu, projek tersebut dianggap sebagai salah satu pelaburan automotif terbesar dalam sejarah negeri itu.

Amerika juga nampak sangat serius mahu membantu VinFast dengan kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif menarik termasuklah pembangunan jalan raya, sistem air, kerja tanah dan bantuan kewangan yang dianggarkan mencecah sekitar USD450 juta. Sebagai balasan, VinFast dijangka membina fasiliti pengeluaran moden dan mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Kilang baru itu dikatakan bakal menghasilkan sehingga 150,000 kenderaan setahun termasuk model seperti VF 7, VF 8 dan VF 9. Malah, projek ini juga dijadikan simbol bagaimana Amerika mahu mempercepatkan industri EV domestik mereka. Tetapi selepas beberapa tahun, keadaan di tapak projek dikatakan masih jauh daripada siap.

Menurut dakwaan pihak kerajaan North Carolina, kawasan tersebut setakat ini hanya menjalani kerja pembersihan dan meratakan tanah sahaja. Struktur utama kilang masih belum dibina walaupun beberapa deadline penting sudah berlalu.

Dalam dokumen saman, pihak negeri mendakwa VinFast gagal memulakan “vertical construction”, iaitu fasa pembinaan bangunan sebenar yang sepatutnya sudah berjalan lama. Pada awalnya, kilang itu dijadual mula beroperasi sekitar tahun 2024. Kemudian tarikh tersebut ditunda ke 2025. Selepas itu, sasaran baharu pula dilaporkan sekitar 2028.

Bagi kerajaan North Carolina, kelewatan demi kelewatan ini sudah mula menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan sebenar VinFast untuk merealisasikan projek tersebut. Peguam Negara North Carolina, Jeff Jackson, dilaporkan menyatakan bahawa VinFast telah berjanji untuk membina kilang dan mencipta pekerjaan, tetapi gagal melaksanakan kedua-duanya.

Akibatnya, negeri itu kini mahu mengambil semula kawalan terhadap tapak projek berkenaan dan menuntut kembali puluhan juta dolar dana awam yang sudah dibelanjakan. Laporan tempatan juga menyebut bahawa kontraktor utama projek tersebut, Clayco telah menarik diri lebih awal akibat masalah berkaitan kelewatan dan pembiayaan projek.

Pada masa sama, VinFast pula dilaporkan cuba menyalahkan perubahan polisi EV di Amerika termasuklah pengurangan insentif cukai EV sebagai antara faktor yang menjejaskan perancangan mereka.

Namun bagi ramai pemerhati industri automotif, isu ini mungkin lebih besar daripada sekadar polisi kerajaan. Sejak memasuki pasaran Amerika, VinFast memang berdepan pelbagai cabaran. Model-model awal mereka menerima kritikan hebat daripada media automotif antarabangsa terutama dari segi talaan pemanduan, kualiti perisian dan pengalaman pemilikan produk.

Walaupun VinFast kemudian cuba memperbaiki keadaan melalui kemas kini produk dan strategi harga lebih agresif, syarikat itu masih bergelut untuk mendapatkan keyakinan pengguna Amerika.Kini, isu kilang North Carolina ini menambahkan lagi tekanan terhadap imej global syarikat tersebut.

Apa yang lebih menarik, dokumen terkini menunjukkan VinFast juga dilaporkan sudah mengecilkan skop projek asal mereka. Saiz pembangunan dikurangkan dan sasaran jumlah pekerja juga turun daripada ribuan kepada sekitar 1,400 orang sahaja.

Daripada sebuah projek yang dulunya dipromosikan sebagai lambang kebangkitan industri EV Vietnam di Amerika, ia kini mula dilihat sebagai contoh bagaimana sukarnya untuk menembusi pasaran automotif Amerika yang sangat kompetitif dan mahal.

Google ads
Back to top button