Artikel Pilihan

KIMERA K39, 1000HP 1200NM PACUAN RODA BELAKANG. CONFIRM LIAR

Dalam dunia hypercar moden hari ini, kebanyakan pengeluar berlumba-lumba menghasilkan kereta paling laju dengan bantuan sistem elektrik, transmisi dual-clutch ultra pantas dan pacuan semua roda yang penuh teknologi.

Tapi di sebalik era digital ini, muncul sebuah projek dari Itali yang seolah-olah datang dari dunia alternatif yang menampilkan sebuah hypercar 1,000 kuasa kuda dengan gearbox manual, pacuan roda belakang dan karakter old-school yang semakin pupus dengan nama Kimera K39.

Kimera Automobili merupakan syarikat Itali sebelum ini terkenal dengan projek restomod mereka seperti EVO37 dan EVO38, sebuah projek reinterpretasi moden kepada legenda rali Lancia era Group B. Namun berbeza dengan projek sebelum ini, K39 ialah sesuatu yang jauh lebih besar dimana K39 dihasilkan bermula dari kosong.

Perkara paling mengejutkan tentang K39 bukan sekadar rupa agresif ala -ala kereta endurance 1980-an, tetapi enjin yang berada di belakang pemandu itu dengankonfigurasi MR. Kimera berjaya mendapatkan enjin V8 twin-turbo 5.0 liter daripada Koenigsegg.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah, syarikat Sweden itu membenarkan pengeluar lain menggunakan enjin mereka. Enjin tersebut berasal daripada keluarga enjin yang digunakan pada model seperti Agera dan Jesko, dengan anggaran kuasa sekitar 1,000 hp dengan tork mencecah hampir 1,200 Nm.

Tetapi Kimera tidak sekadar mengambil enjin itu bulat-bulat sebaliknya enjin tersebut ditalaa semula bagi menjadikan enjin ini terasa lebih hidup. Turbo lebih kecil digunakan untuk meningkatkan respons, sistem intake diubah dan talaan semula dilakukan supaya throttle response terasa lebih pantas dan lebih organik.

Hasilnya ialah sebuah hypercar yang bukan sahaja brutal di atas kertas, tetapi juga dikatakan lebih analog dan lebih terasa ketika dipandu. Apa yang paling gila iala Kimera digandingkan dengan transmisi 7 kelajuan manual

Ketika pengeluar lain seperti Ferrari, McLaren dan Lamborghini semuanya mengejar masa pecutan 0-100 paling pantas dengan bantuan elektronik, Kimera memilih laluan bertentangan. Mereka mahu pemandu bekerja, merasai sendiri penukaran gear, setiap kehilangan cengkaman dan setiap ledakan kuasa dari enjin V8 twin-turbo itu.

Gabungan 1,000 hp, gearbox manual dan RWD kedengaran seperti resipi untuk “widow maker” kalau tersilap tekan pedal minyak, tetapi itulah sebenarnya daya tarikan utama K39. Ia bukan hypercar yang mudah untuk dijinakkan, sebaliknya memerlukan kemahiran pemandu untuk mengawalnya

Namun perkara yang membuatkan projek ini lebih luar biasa ialah beratnya.

Kimera menyasarkan berat sekitar 1,100 kilogram sahaja. Untuk perspektif, hampir semua EV moden hari ini sudah melebihi dua tan. Jadi nisbah kuasa ke berat yang dimiliki K39 hampir menyamai kereta lumba prototaip yang digunakan di litar perlumbaan

Rahsia kepada angka itu datang daripada penggunaan casis carbon-fiber monocoque penuh serta fokus ekstrem terhadap kejuruteraan bahan ringan. Tetapi bukan sekadar ringan, aerodinamik K39 juga dibangunkan dengan bantuan Dallara iaitu syarikat yang cukup terkenal dalam dunia motorsport dan pembangunan kereta lumba endurance.

Sebab itu reka bentuk K39 nampak seperti gabungan Ferrari F40, Lancia Group C dan kereta Le Mans lama. Bahagian depan penuh dengan saluran udara agresif, wheel arch berlubang untuk pengurusan aliran udara, intake gergasi di belakang pintu dan rear wing yang nampak seolah-olah boleh menghasilkan downforce cukup untuk melekatkan kereta ini pada siling.

Kimera juga sudah mengesahkan kewujudan versi khas K39 Pikes Peak, varian yang lebih ekstrem dengan pakej aero yang jauh lebih ganas untuk menyertai perlumbaan mendaki bukit paling terkenal di dunia sekitar 2027.

Pengeluarannya pula sangat terhad dengan anggaran awal menyebut jumlah produksi mungkin kurang daripada 100 unit, malah ada sumber mengatakan sekitar 20 unit sahaja akan dibina. Kemungkinan besar harga asas untuk model ini adalah sekitar 1 juta USD.

Tetapi sebenarnya, K39 bukan tentang harga atau angka semata-mata.

Dalam dunia automotif yang semakin dipenuhi EV senyap, software update dan sistem bantuan pemanduan yang terlalu sempurna, Kimera K39 terasa seperti surat cinta terakhir kepada era kereta analog. Era di mana hypercar bukan sekadar pantas, tetapi juga menakutkan, liar dan memerlukan keberanian sebenar untuk dipandu laju.

Google ads
Back to top button