
KISAH BODO BUSCHMANN, BOS BRABUS
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, nama “Brabus BODO” mula menjadi bahan lawak di media sosial. Ramai pembaca yang ternampak nama tersebut lalu terus ketawa kerana bunyinya agak lucu dalam bahasa Melayu. Namun di sebalik nama itu sebenarnya tersembunyi kisah seorang individu yang sangat besar pengaruhnya dalam dunia automotif Jerman dan industri penalaan prestasi global.
Nama “BODO” itu merujuk kepada Bodo Buschmann, pengasas syarikat Brabus yang cukup terkenal dengan modifikasi Mercedes-Benz berkuasa tinggi dengan imej agresif. Kalau hari ini kita melihat Mercedes hitam dengan badan lebar, rim besar, bunyi ekzos garang dan aura seperti kereta mafia, sebahagian besar budaya itu sebenarnya datang daripada idea seorang lelaki bernama Bodo Buschmann.
Kisah BRABUS bermula pada penghujung tahun 1970-an ketika Bodo berusia 22 tahun dan sangat meminati kereta sport. Pada waktu itu beliau memandu Porsche 911, tetapi ayahnya pula merupakan pengedar rasmi Mercedes-Benz di Jerman.

Sudah tentu keadaan itu tidak disenangi oleh keluarganya sendiri. Bodo akhirnya dipaksa menjual Porsche miliknya dan menggunakan Mercedes-Benz S-Class W116. Namun bagi seorang anak muda yang meminati kereta prestasi, Mercedes ketika itu terlalu serius, terlalu konservatif dan lebih sinonim dengan golongan diplomat atau orang kaya berusia.
Daripada menerima keadaan tersebut, Bodo mengambil keputusan untuk mengubah Mercedes mengikut citarasanya sendiri. Pada tahun 1977, beliau bergabung dengan rakannya Klaus Brackmann untuk membuka sebuah syarikat kecil modifikasi kereta. Pada ketika itu Bodo masih lagi belajar dalam jurusan undang-undang dan pengurusan perniagaan.
Nama “BRABUS” lahir daripada gabungan nama mereka, iaitu BRAckmann dan BUSchmann. Menariknya, Klaus Brackmann sebenarnya bukanlah seorang peminat automotif tegar. Beliau hanya membantu proses pendaftaran syarikat kerana undang-undang Jerman ketika itu memerlukan lebih daripada seorang pengasas untuk menubuhkan syarikat. Saham beliau dijual semula kepada Bodo pada harga lebih kurang 100 euro sahaja.

Daripada bengkel kecil itulah lahirnya sebuah jenama yang akhirnya mengubah imej Mercedes-Benz selama-lamanya. Sebelum kemunculan BRABUS, Mercedes terkenal sebagai kereta golongan elit yang elegan tetapi agak membosankan.
Bodo Buschmann nampak potensi lain pada jenama tersebut dengan menghasilkan Mercedes dengan badan lebih lebar, suspensi lebih rendah, rim besar Monoblock, interior ultra mewah dan enjin yang jauh lebih ganas berbanding model asal. Pendek kata, beliau berjaya mengubah Mercedes daripada kereta orang tua kepada simbol kuasa dan gaya hidup gangster mewah.
Apa yang lebih menarik, Bodo merupakan antara individu terawal yang percaya bahawa sedan mewah boleh mempunyai prestasi setaraf supercar. Pada era 1980-an dan 1990-an, idea sebuah sedan besar mampu memecut melebihi 300 km/j memang kedengaran tidak masuk akal.

Ketika kebanyakan pengeluar masih membezakan kereta mewah dan kereta prestasi, BRABUS mula menghasilkan sedan V12 twin turbo dengan kuasa yang sangat melampau untuk zamannya. Hasilnya, BRABUS berjaya mencipta beberapa model legenda seperti BRABUS E V12, BRABUS Bullit dan BRABUS Rocket.
Model Rocket pernah memegang rekod dunia sebagai sedan jalan raya terpantas dengan kelajuan melebihi 360 km/j. Bayangkan sebuah sedan empat pintu yang mampu memberikan tekanan kepada supercar Itali pada waktu itu. Itulah tahap kegilaan idea Bodo Buschmann.
Ramai menyangka BRABUS hanyalah bengkel biasa yang memasang bodykit dan menukar rim, tetapi realitinya syarikat ini beroperasi pada tahap yang jauh lebih tinggi. BRABUS mempunyai status sebagai pengeluar kenderaan sendiri dan beberapa model mereka menggunakan nombor VIN khas BRABUS, bukannya sekadar VIN Mercedes-Benz biasa.

Dalam erti kata lain, sesetengah model BRABUS secara teknikal dianggap sebagai kereta BRABUS sepenuhnya, bukan sekadar Mercedes yang diubah suai. Selain itu, kerja mereka juga bukan sekadar menala semula ECU sebaliknya enjin BRABUS telah dirombak semula dan dibina secara handbuilt dengan komponen prestasi khas.
Bahagian interior pula dibuat seperti kabin jet peribadi dan yacht mewah dengan penggunaan kulit premium, karbon fiber dan pelbagai kemasan custom. Tidak hairanlah harga sesetengah model BRABUS boleh mencecah jutaan ringgit.
Pengaruh BRABUS juga berkembang jauh melebihi Mercedes-Benz. Hari ini syarikat tersebut turut menghasilkan projek melibatkan Porsche, Rolls-Royce, Bentley, Smart, bot mewah, RV premium dan juga interior jet peribadi. Pada satu ketika, BRABUS malah pernah menjadi tuner rasmi untuk Bugatti.

Daripada sebuah bengkel kecil yang diasaskan dua orang sahabat, BRABUS berkembang menjadi empayar gaya hidup automotif bertaraf global. Bodo Buschmann meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kanser, namun legasinya masih sangat kuat dalam dunia automotif sehingga hari ini.
Sebagai penghormatan kepada pengasas mereka, BRABUS memperkenalkan model khas bernama “BRABUS BODO”. Model ini dihasilkan sebanyak 77 unit sahaja sempena tahun kelahiran BRABUS pada 1977. Ia menggunakan enjin V12 twin turbo 5.2 liter yang menghasilkan sekitar 1000 kuasa kuda dan 1200Nm tork, satu angka yang benar-benar menggambarkan falsafah liar dan ekstrem yang dibawa oleh Bodo sepanjang hidupnya.








