Buletin

CHINA SUKA MENIRU? JEPUN DAN KOREA PUN BUAT JUGA DAHULU

Kalau cakap sahaja pasal tiru meniru rekaan kereta, syarikat dari China pasti muncul dalam kepala kita. Ya lah, masalah pelanggaran hakcipta bukan perkara baru di republik berkenaan.

Malah, peniruan itu dibuat secara terang-terangan. Lebih menghairankan, ramai juga pengguna yang membeli kereta copy ori itu tanpa rasa bersalah. 

Biar apa pun keadaannya di China, harus tahu juga bahawa aktiviti plagiat rekaan kereta itu sebenarnya sudah lama berlaku serta melibatkan pengeluar kenderaan berpengaruh dari Jepun dan Korea Selatan.

Malah, bukan satu  rahsia jika kereta buatan Jepun pada tahhun 1960-an dan 1970-an banyak meniru bahasa rekaan jenama kereta dari Eropah. 

Trend itu didakwa berlarutan sehingga tahun 1990-an sebelum boleh dikatakan berhenti sepenuhnya apabila masuk awal tahun 2000-an. 

Sebagai contoh, lihat sahaja model kompak Nissan Micra generasi kedua yang dihasilkan di antara tahun 1992 hingga 2002.

Model K11 itu jelas meniru rekaan kereta Austin MINI, tetapi tampil dengan lebih moden. Betul, bahagian hadapan berbeza, tetapi cuba teliti reka bentuk badannya. Lebih kurang sama kan… 

Versi tiga pintu K11 Micra dilihat mempunyai banyak persamaan dengan Austin MINI, sementara model lima pintu pula sedikit berbeza. 

Contoh kedua ialah Lexus LS generasi ketiga. Dihasilkan pada tahun 2000 hingga 2006, ia meniru bulat-bulat Mercedes-Benz W140 yang popular sekitar tahun 1990-an. Fascia hadapan dan belakang kelihatan seperti sebuah Mercedes-Benz moden, tetapi bahagian sisi jelas sama. 

Mazda CX30

Sebenarnya dua generasi LS sebelum itu turut diinspirasikan oleh sedan mewah dari Jerman. Ia kelihatan seperti campuran reka bentuk Mercedes-Benz dan BMW. Boleh kata rekaan peringkat awal model-model Lexus seperti rojak daripada pelbagai jenama. 

Sekarang kita lihat pula kepada pengeluar Korea Selatan. Kia Opirus (Optima) yang mula dipasarkan pada tahun 2003 hingga 2010 jelas meniru wajah Mercedes-Benz E-Class generasi kedua (W210). 

Sementara SsyangYong Chairman mengambil inspirasi rekaan model-model Mercedes-Benz (gabungan W140, W220 dan W221). Harus tahu juga bahawa sedan itu menggunakan platform E-Class tahun 1990-an.

Google ads
Back to top button