;
Buletin

LAGI MINYAK ENJIN TIRUAN DIRAMPAS. KALI INI BERNILAI RM2 JUTA!

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dilapor berjaya merampas minyak enjin tiruan bernilai RM2 juta dalam satu serbuan baru-baru ini. 

Sindiket yang memalsukan hampir semua jenama minyak enjin dan minyak transmisi terkenal itu didakwa mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit hasil perbuatan haram tersebut. 

Serbuan yang melibatkan dua buah rumah di Kajang dan sebuah kilang tiga tingkat di Serdang, Selangor telah berjaya menahan dua lelaki tempatan. Mereka dipercayai ahli sindiket terbabit. 

Pemeriksaan oleh sepasukan Unit Operasi KPDNHEP mendapati terdapat deretan tangki bersaiz besar berkapasiti beri-ribu liter minyak. Botol-botol 4 liter turut ditemui. Kilang itu merupakan lokasi pemprosesan dan pembungkusan berskala besar. 

Timbalan Pengarah (Operasi Khas) Penguat Kuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad mengakui sukar untuk pengguna membezakan di antara minyak tulen dal tiruan jika hanya melihatnya secara luaran. Sindiket itu juga dikatakan memproses formula sendiri minyak sebelum dibungkus dan diedarkan ke seluruh negara.  

Mereka menjadikan rumah sebagai stor dan mensasarkan bengkel kenderaan sebagai pelanggan utama. Mereka juga ada menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang membeli secara dalam talian. 

Dari segi harga, minyak enjin tiruan dijual pada harga RM70 hingga RM80 sahaja. Sedangkan minyak original berharga RM140 hingga RM150 sebotol. 

Sindiket dilapor membeli botol-botol minyak terpakai daripada bengkel pada harga RM1 sebotol. Langkah itu dibuat bagi mengurangkan kos penghasilan minyak tiruan terbabit.  

Penggunaan minyak tiruan itu dikatakan menjadi antara punca beribu-ribu kenderaan rosak, KPDNHEP ada menerima aduan daripada pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDNHEP Johor kelmarin berjaya merampas minyak enjin motosikal tiruan bernilai lebih RM45,000. Pada April lalu pula, KPDNHEP menyerbu dua premis di Manjung, Perak dan berjaya menemui 209 tong minyak pelincir tiruan bernilai RM257,000. 

sumber: Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button