PENJUALAN TOPI KELEDAR TIRUAN SANGAT MEMBIMBANGKAN. MAUT MENANTI – PAKAR
Sama ada kita sedar atau tidak, pasaran sama ada online atau offline kini dibanjiri oleh penjualan topi keledar tiruan dan perkembangan itu dilihat sangat membimbangkan.
Lebih menyedihkan, pengguna seperti tidak kisah membeli topi keledar itu kerana mahu bergaya dengan jenama terkenal, tetapi dibeli pada harga jauh lebih murah.
Dilihat dengan mata kasar, agak sukar untuk menentukan yang mana satu topi keledar palsu dan mana yang asli. Namun, apabila ujian dilakukan, topi keledar palsu nyata tidak boleh menahan hentakan dan kebanyakannya pecah atau terbelah dua.
Dengan keadaan itu, bagaimana ia boleh melindungi kepala pemakai jika berlaku kemalangan? Institusi Standard British (BSI) yang berfungsi menetapkan piawaian terhadap topi keledar memberi beberapa tips bagaimana untuk mengesan produk tiruan.
- Cari E-Nombor yang menunjukkan topi keledar ini telah diuji dan terbukti selamat digunakan di Eropah. Jika tiada, jangan beli.
- Dapatkan topi keledar daripada pembekal atau penjual bertauliah. Bukannya penjual yang letak helmet atas bumbung kereta seperti di Dataran Merdeka.
- Lihat helmet yang dibeli dengan teliti. Rasai kualiti material dan periksa label yang betul.
- Kalau harga yang ditawarkan untuk sebuah helmet berjenama terkenal terlalu murah, jangan beli. Kemungkinan besar ia adalah tiruan.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh ITV News, keputusan ujian yang dilakukan oleh BSI ke atas beberapa topi keledar tiruan sangat mengejutkan.
Sebagai contoh, sebuah topi keledar tiruan jenama AGV terbelah dua walaupun ujian hanya melibatkan kelajuan sekitar 48km/j. “Topi keledar ini terbelah dari bahagian hadapan ke belakang. Jadi kepala pengguna terdedah kepada impak yang akan mengakibatkan kecederaan lebih serius.
“Hasil ujian ini sangat mengejutkan. Melihat pengguna di luar sana yang memakai topi keledar ini dan beranggapan mereka mendapat perlindungan sememangnya meresahkan kami,” kata Mark Mayo dari BSI.
Sementara sebuah topi keledar Arai tiruan yang menjalani ujian sama juga terbelah dua. “Tidak mustahil pemakainya akan maut. Tragedi pasti berlaku,” kata Mayo lagi.
Selain pihak berkuasa yang perlu mengambil langkah proaktif dalam menguatkuasakan undang-undang supaya topi keledar tiruan tidak dijual secara berleluasa, pengguna juga harus dididik supaya tidak membelinya.
Kalau tiada permintaan, bagaimana boleh wujud penawaran? Jadi, fikir sebelum beli Arai atau Shoei copy ori yang harganya mahal sikit sahaja daripada Apollo.
- BACA: SHOEI BAKAL PERKENAL HELMET REPLIKA MARC MARQUEZ DI LITAR MOTEGI
- BACA: TAK LULUS PIAWAIAN FIM, HELMET SHOEI & SHARK DICAT DENGAN LOGO KYT DAN SUOMY
- BACA: PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT HELMET DIPANAH PETIR
- BACA: 10 HELMET PALING SELAMAT DI DUNIA 2017 – DI MANA KEDUDUKAN HELMET ANDA?
- BACA: HELMET ARAI PALSU DIRAMPAS DI PULAU PINANG