Buletin

KIA EV4 2025 DIPERKENALKAN DI A.S. – SEDIA CABAR DOMINASI TESLA MODEL 3

Dalam satu langkah berani yang bakal menggugat dominasi Tesla Model 3, Kia telah memperkenalkan sedan elektrik global pertamanya, Kia EV4, di pentas New York International Auto Show baru-baru ini.

Meskipun model ini telah diperkenalkan lebih awal untuk pasaran Eropah pada Februari lalu di Sepanyol dalam bentuk hatchback dan sedan, versi yang ditampilkan di New York adalah khusus untuk pasaran Amerika Utara – hanya dalam bentuk sedan, tanpa versi hatchback.

Kia EV4 dijangka mula dipasarkan di Amerika Syarikat seawal suku pertama tahun 2026, sedikit lewat berbanding pelancarannya di Eropah yang dijadualkan sebelum akhir 2025.

Kelewatan ini dipercayai berkait rapat dengan perancangan Kia untuk memasang model ini di kilangnya di Georgia, bagi mengelakkan tarif import dan mengekalkan harga yang kompetitif.

Dibina berasaskan platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) dengan seni reka “Opposites United”, EV4 menampilkan rupa yang tajam dengan hud rendah, lampu hadapan menegak serta lampu Star Map yang ikonik.

Pilihan lampu LED berbentuk kiub dengan Dynamic Welcome Lights turut tersedia, manakala rekaan belakangnya yang panjang menyerlahkan elemen sporti menerusi lampu menegak dan spoiler bumbung dua bahagian.

Ukuran sedan ini adalah 4,730mm panjang dengan jarak roda 2,820mm, ruang kaki penumpang belakang dijangka luas dan selesa, manakala ruang but berkapasiti 490 liter pula cukup untuk kegunaan harian.

Tiga varian utama ditawarkan: Light, Wind dan GT-Line, masing-masing dipadankan dengan rim aero 17-inci atau rim 19-inci.

Masuk ke dalam, perhatian segera tertumpu pada paparan 30-inci yang menggabungkan dua skrin 12.3-inci untuk kluster meter dan infotainmen, serta satu skrin 5-inci untuk kawalan suhu. Sistem ini dikenali sebagai Connected Car Navigation Cockpit (ccNC), lengkap dengan kemas kini over-the-air (OTA), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta pembantu suara berasaskan AI.

Kemudahan lain termasuk kawalan suhu automatik dwi-zon dengan ventilasi belakang, cermin hadapan akustik, tempat duduk hadapan dengan pemanas dan penyejuk, fungsi memori untuk pemandu, serta stereng dengan pemanas. Pendek kata, ia menawarkan kemewahan dan kemudahan moden tanpa terlalu “minimalis” seperti Tesla.

Dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 201hp yang memacu roda hadapan, EV4 hadir dengan dua pilihan pek bateri:

  • 58.3 kWh (varian Light) dengan jarak sekitar 378km.
  • 81.4 kWh (varian Wind & GT-Line) yang mampu pergi sejauh 531km.

Masa pengecasan dari 10 ke 80 peratus menggunakan pengecas DC pantas pula dianggarkan hanya 29 minit untuk bateri kecil dan 31 minit untuk yang lebih besar.

Menariknya, EV4 menggunakan port pengecasan NACS, membolehkan ia menggunakan rangkaian Supercharger Tesla.

Dari segi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu, EV4 didatangkan standard dengan sistem Highway Driving Assist (HDA), yang boleh melaras kelajuan berdasarkan had laju di lebuh raya serta mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan.

Sistem ini turut disokong oleh Hands-On Detection, bagi memastikan pemandu kekal memegang stereng.

Ciri lain merangkumi:

  • Driver Attention Warning
  • Forward Collision Avoidance Assist
  • Lane Following Assist
  • Remote Smart Parking Assist

Suspensi jenis MacPherson di depan dan multi-link di belakang, bersama casis yang diperkuatkan, menunjukkan fokus Kia untuk memastikan EV4 bukan sahaja selesa tetapi juga seronok dipandu.

Google ads
Back to top button