Selepas berehat panjang, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bakal membuka tirai untuk tahun 2018 yang akan bermula di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 31 Mac dan 1 April ini.
Saingan musim 2018 merupakan musim penting dan juga sejarah baharu buat Kejuaraan apabila memasuki musim ke-25 penganjuran sejak mula dilangsungkan pada tahun 1994. Ia merupakan satu pencapaian dan kejayaan yang sangat bermakna terutama kepada perkembangan sukan permotoran negara.
Antara kejayaan besar yang dapat dilihat melalui Kejuaraan Cub Prix adalah pencapaian pelumba-pelumba Malaysia pada hari ini terutama di pentas antarabangsa bermula dari generasi pertama seperti M. Meganathan, Wazi Abdul Hamid, Chia Tuck Cheong, dan Rosnizam Mohd Noor.
BACA: NAK JADI PELUMBA CUBPRIX? INI PELUANGNYA!
Generasi kedua seperti Ahmad Fuad Baharudin, Ahmad Fazli Sham, Elly Idzlianizar Ilias, Azlan Shah Kamaruzaman, dan Mohd Zamri Baba, generasi ketiga seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin, dan Zaqhwan Zaidi sehinggalah ke generai hari ini seperti Kasma Daniel Kasmayuddin, Mohd Akid Aziz dan ramai lagi yang sedang menunggu peluang untuk ke peringkat lebih tinggi.
“Sepanjang 25 tahun ini, sukan permotoran dua roda negara telah berkembang dengan pesat. Pencapaian pelumba di peringkat antarabangsa pada hari ini merupakan sebahagian daripada contoh yang dapat dilihat. Malah, antara pencaiapai besar yang dicapai apabila penganjuran Kejuaraan Cub Prix selama 25 tahun ini telah mengubah persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap sukan permotoran.
Pada hari ini kita mempunyai ramai lagi bakat-bakat muda belasan tahun yang berpotensi dan menunggu peluang untuk diketengahkan ke peringkat lebih jauh,” jelas Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg.
Tambahnya, “Selain itu, Kejuaraan Cub Prix bukan sahaja merupakan industri penting di dalam sukan permotoran negara, malah menjadi penanda aras kepada pelbagai kejuaraan di serata Asia dalam usaha mereka untuk melahirkan lebih ramai pelumba berbakat.
“Terima kasih tidak terhingga harus diberikan kepada barisan penaja terutama PETRONAS dan juga pengeluar-pengeluar motosikal dan aksesori yang memberikan sokongan berterusan kepada Kejuaraan, pihak Kementerian Belia dan Sukan serta semua yang telah terlibat sepanjang 25 tahun ini dan tahun-tahun akan datang.”
YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin Menteri Belia dan Sukan Malaysia dijadualkan hadir merasmikan sambutan 25 tahun Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pembukaan Litar Tangkak pada 1 April 2018 bermula jam 1 tengah hari.