" "
Buletin

YAMAHA Y15ZR SAPU BERSIH PERLUMBAAN CUBPRIX PONTIAN!!!

Md Azhar Abd Jalil melakar kejutan apabila berjaya menawan litar Pontian, Johor selepas muncul juara kelas CP150 pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang itu memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa keseluruhan 17:30.022 saat (s).

Ia adalah kemenangan pertama buat Azhar musim ini selepas bergelut dengan prestasi yang tidak menentu sejak daripada Pusingan 1 lagi.

Begitupun, dia hampir terlepas gelaran tersebut apabila dipintas oleh pencabar terdekatnya, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di lap ke-18, namun Azhar kembali merampas kedudukan gara-gara kesilapan yang dilakukan oleh pesaingnya itu di lap terakhir.

Tanpa menoleh ke belakang, Azhar terus memecut ke garisan penamat untuk menghadiahkan kemenangan yang amat bermakna buat pasukan yang disertainya sejak tahun 2007 itu.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, strateginya pada perlumbaan tersebut adalah untuk cuba berada di hadapan namun keadaan jenteranya kurang stabil.

Akhirnya, dia memilih untuk mengharunginya secara selamat sambil terus memberi tekanan kepada Afif.

“Semua pelumba bersaing secara selamat kerana keadaan litar yang sangat mencabar. Litar ini terlalu banyak selekoh U dan ia menyukarkan kami untuk memecut ke tahap maksimum.

“Saya hanya mengekalkan momentum sambil menunggu peluang untuk menempatkan diri di hadapan. Apabila menyedari keadaan jentera Afif yang semakin hilang tahap kelajuannya, saya mula melancarkan gerak, sekali gus berjaya memimpin perlumbaan,” jelas Azhar yang kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 43 mata.

Afif yang kekal mendahului carta keseluruhan dengan 78 mata, sekadar menduduki tempat kedua perlumbaan tersebut dengan masa 17:30.190s.

Tempat ketiga berada dalam genggaman pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan masa 17:33.638s.

Dalam kategori CP115, Md Syafik Rosli kembali menyengat apabila muncul juara dengan catatan masa 9:07.283s.

Syafik yang memenangi perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ini, membuktikan bahawa dia berhak bergelar Raja CP115 walaupun gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 1 di Jasin, Melaka awal  tahun ini dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.

Hari ini, semuanya berjalan dengan sempurna bagi membolehkan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelar juara buat kali kedua musim ini.

Tempat kedua menjadi milik Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan masa 9:10.755s manakala pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang, Md Khairi Asyraf Mahmood di tempat ketiga dengan catatan masa 9:13.468s.

Kedudukan keseluruhan kelas CP115 kekal diungguli Ahmad Syukran dengan sejumlah 80 mata.

Sementara itu, kategori Wira menyaksikan penguasaan Md Zaki Zamri  yang muncul juara dengan catatan masa 11:13.521s.

Kemenangan tersebut terus memberi keselesaan kepada pelumba asal Selangor itu untuk memimpin kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 85 mata.

Aliff Danial yang muncul naib juara pada perlumbaan hari ini kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 50 mata.

Pusingan 5 kejuaraan ini akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 23-24 Ogos nanti.

KEPUTUSAN (5 teratas)

CP150

  1. Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 17:30.022s
  2. Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 17:30.190s
  3. Fakhrusy Syakirin Rostam (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) – 17:33.638s
  4. Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 17:36.349s
  5. Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 17:38.608s
Google ads
Back to top button