Buletin

CUBAAN RENTAS NEGERI GAGAL DI LPT2. 4 LELAKI DIKOMPAUN, DIARAH BERPATAH BALIK

Empat lelaki yang cuba melakukan rentas negeri dari Selangor untuk ke Besut dan Kelantan ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing di Chukai semalam.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 37 tahun itu menaiki sebuah Proton Persona warna hitam ditahan polis pada 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepasukan pegawai dan anggota yang melakukan pemantauan dan bertugas di SJR antara negeri itu menahan kereta terbabit sebelum meminta surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan pihak polis.

Menurutnya, mereka mendakwa tidak mempunyai surat kebenaran terbabit. Siasatan lanjut mendapati pemandu kereta yang berusia 37 tahun itu mengaku dia bertugas untuk menghantar tiga lelaki berkenaan ke Besut dan Kelantan.

“Pemandu terbabit mengaku terima upah sebanyak RM350 untuk menghantar tiga lelaki terbabit dan mengaku ditunjukkan surat tawaran bekerja daripada tiga lelaki itu sebagai alasan perjalanan mereka.

“Anggota polis kemudiannya memeriksa surat tawaran terbabit dan selepas membuat semakan mendapati alamat tempat kerja yang tertera pada surat itu tidak wujud,” katanya.  

Hanyan memberitahu, semua mereka mengaku surat terbabit adalah surat palsu dan dibuat oleh abang kepada rakan mereka.

“Mereka mendakwa berjaya melepasi tiga SJR di Kajang, Gombak dan Bentong dengan menggunakan surat tawaran bekerja terbabit,” katanya.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun terhadap mereka semua sebelum diarah berpatah balik. – Harian Metro

Google ads
Back to top button