Artikel Pilihan

BAGAIMANA KERETA DIPASANG DI KILANG? SUSAH LAGI BUAT LEMANG

Pernahkah anda melawat kilang pemasangan kereta? Pernah ke anda terfikir bagaimana kereta dihasilkan daripada beribu-ribu komponen yang dipasang? Penulis satu ketika dulu pernah terlibat secara langsung dalam industri ini ingin memberi gambaran asas bagaimana kereta dihasilkan. Ini secara ringkas ye, kalau secara teknikal raya ke 6 baru habis baca

Proses ini bukanlah dilakukan oleh pengeluar secara 100%, namun dengan bantuan jaringan pembekal dari dalam dan juga luar negara. Bagi membantu mengembangkan industri, semakin banyak kandungan tempatan (local content) dihasilkan dalam negara oleh vendor tempatan. Secara tak langsung ia menyediakan peluang pekerjaan dalam negara.

Kita ikuti proses pembuatan kereta ini mengikut jabatan.

Logistik – proses dimulakan dengan penghantaran komponen atau bahan mentah yang diperlukan ke bahagian logistik. Bagi pengeluar kereta yang mengamalkan Toyota Production System, vendor perlu menghantar komponen berdasarkan kuantiti yang diperlukan apabila menerima arahan sahaja.

Tak boleh hantar lambat, kalau lambat kena denda. Kalau hantar awal tunggu la depan pondok pengawal. Antara bahan utama yang diperlukan ialah gelungan keluli dan aloi yang akan dihantar terus ke Body Shop, Casting Shop atau ke Assembly Line

Body Shop – di sini gelungan keluli akan dimasukkan dalam blanking machine yang akan meluruskan gelungan tadi dan memotong kepingan besi mengikut spesifikasi yang dinamakan sebagai blanks. Kadangkala proses pemotongan dilakukan dalam beberapa siri bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki

Kepingan besi tadi akan dihantar untuk proses stamping dengan menggunakan acuan besi seberat 20-100 tan mengikut bentuk dan spesifikasi rekaan. Acuan ini dikenali dengan die akan membentuk kepingan besi menjadi komponen besi dengan tekanan seberat 2600 ton.

Ia memerlukan beberapa siri proses stamping bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki. Setelah komponen (body parts) ini mencukupi, ia akan dicantumkan antara satu sama lain bagi membentuk cesi kereta dengan kaedah welding. Dalam automotif spot welding merupakan kaedah yang paling mudah untuk menghasilkan cesi yang tegar

Biasanya platform lantai akan dicantumkan terlebih dahulu. Bahagian asas seperti ruangan enjin, lantai ruang kabin dan bahagian belakang akan diletakkan di atas jig sebelum dicantumkan. Kerangka bumbung, quarter panel dan bahagian lain akan dicantumkan. Ketika ini bentuk asas kereta sudah boleh dilihat dan ia dipanggil white body

Bahagian pintu, panel sisi depan, panel sisi belakang, penutup ruang kargo dan penutup ruang enjin akan mulai dipasang pada akhir proses. Ketika ini white body sudah pun siap untuk ditarik masuk ke Paint Shop

Paint Shop – di sini cesi kereta akan memulakan proses mengecat dengan proses cucian kimia bagi menghilangkan kesan gris, minyak dan kotoran. Ia diikuti dengan rendaman dalam fosfat bagi memudahkan cesi cat primer dan cat melekat dengan mudah.

Kemudian cesi akan direndam terus ke dalam tangki yang mengandungi cat primer dimana cesi dicas dengan cas negatif dan primer dicas secara positif. Ini memastikan semua cat primer melekat dengan baik semasa rendaman. Keluar saja dari tangki tadi, cesi akan dibakar dalam suhu 500 darjah Celsius bagi mematikan cat tadi kering sepenuhnya

Setelah kering, cesi akan diperiksa bagi mengesan kecacatan dan jika kualiti cat bagus, cesi akan disembur dengan cat primer bagi menghasilkan permukaan yang lebih baik sekali lagi. Cesi akan dibakar dalam oven pada suhu 250 darjah celsius. Setelah kering, barulah ia dicat dengan warna yang ditempah oleh pelanggan

Cesi yang siap dicat ini akan diletakkan dalam satu kawasan khas, menunggu untuk ditarik masuk ke barisan pemasangan

Assembly LineProduction Planning akan memberikan arahan kepada Assembly Line untuk memasang kereta berdasarkan warna dan varian yang diminta oleh pelanggan. Kadangkala satu barisan pemasangan boleh ada pelbagai model dan pelbagai varian yang dipasang serentak pada masa yang sama.

Disini cesi akan dipasang dengan pelbagai komponen bagi mencukupkan sifatnya agar boleh digelar sebagai kereta. Sebelum proses ini dimulakan, pintu kereta akan dibuka dan dihantar ke Door Assembly. Apabila pintu dibuka, ia akan memudahkan juruteknik keluar masuk ke dalam kereta bagi tujuan pemasangan dan mengurangkan risiko kerosakan.

Pendawaian kereta, ECU, tiub, dan segala perkakas yang tidak dapat dilihat oleh pengguna akan mulai dipasang dan diakhiri dengan pemasangan fabrik bagi tujuan kemasan dalaman. Papan pemuka, sistem audio, kusyen, dan juga kemasan karpet akan mula dipasang.

Komponen pintu seperti cermin, penebat bunyi, suis dan juga cermin sisi akan dipasang secara berasingan. Setelah siap, ia akan dihantar semula untuk dipasang pada kereta. Di Assembly Line juga, enjin dan transmisi akan dipasang pada kereta. Enjin merupakan komponen yang dihasilkan daripada Casting Shop

Di akhir Assembly Line, kereta akan diuji dengan beberapa siri ujian seperti ujian gegaran, brek, enjin dan transmisi, serta melalui ujian pancuran air hujan bagi mengesan kebocoran

Casting Shop – merupakan tempat di mana pelbagai komponen enjin dan transmisi dihasilkan, dipasang dan diuji sebelum dihantar ke Assembly Line. Proses ini dimulakan dengan aluminium atau keluli dicairkan dan dituang dalam sand casting bagi membentuk komponen enjin seperti blok enjin, kepala silinder dan juga piston.

Setelah cecair ini sejuk dan menjadi solid, ia akan dimesin bagi membentuk komponen dengan ukuran spesifikasi yang ditetapkan. Sesetengah komponen seperti piston ring, aci sesondol dan pam air akan dibekalkan oleh pembekal daripada luar. Disini juruteknik akan memasang semua komponen bagi menghasilkan unit enjin dan transmisi.

Sesetengah enjin akan dipilih secara rawak untuk diuji secara maksimum di bilik ujian dan diletakkan di atas engine bench.

Stock yard – proses pemasangan kereta mengambil masa sehingga 20 jam bagi setiap unit. Setelah selesai, kereta ini akan diparkir sementara di stockyard bagi menunggu loader untuk dihantar ke seluruh negara termasuklah pasaran eksport jika ada.

Apa yang penulis tulis di sini merupakan ringkasan proses penghasilan kereta. Untuk video penuh, anda boleh tonton dokumentari di SINI. Anda boleh belajar berkenaan sistem lain seperti pokayoke, Andon System, lean manufacturing dan pelbagai istilah yang digunakan oleh syarikat pengeluar kereta.

Tags
Google ads
Back to top button