Buletin

DACIA JOGGER EXTREME – DARIPADA MPV KELUARGA BERUBAH KEPADA KERETA KELUARGA YANG SERBA BOLEH

Model Dacia Jogger ini barangkali dikenali di Eropah sebagai sebuah MPV keluarga dengan harga yang cukup mesra slip gaji. Model yang dibangunkan dengan menggunakan pelantar Renault – Nissan CMF ditawarkan dengan harga yang cukup murah, hanya £18,295 (RM103,922) sahaja.

Dan sebagai sebuah model murah, sudah tentu ianya memerlukan lebih daripada biasa untuk terus menarik perhatian para pembeli di luar sana. Dan kali ini Dacia menawarkan varian Extreme terhadap model Jogger. Terus berubah daripada MPV keluarga yang biasa kepada kepada kereta keluarga yang serba boleh.

Pelancaran varian Extreme adalah sebahagian daripada strategi Dacia untuk meningkatkan daya penarik yang baru dan memperluas wilayahnya, sambil mematuhi nilai-nilai yang dijunjung tinggi dengan penuh hormat. Varian Extreme meneruskan pendekatan “kuat dan aktivit luar” (robust and outdoor) jenama ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bukan hanya dari segi reka bentuk tetapi juga ciri-ciri yang ditawarkan, tanpa mengabaikan elemen-elemen yang menjadikannya penting, menarik, terjangkau, dan berorientasikan alam sekitar.

Dari segi penampilan luaran, varian Exreme ini ditawarkan dengan pilihan warna baharu, Cedar Green selain daripada warna standard sebelum ini. Juga terdapat beberapa kemasan Copper Brown, satu warna yang dikhususkan untuk Dacia Extreme. Kemasan warna Copper Brown ada pada cermin pintu, penutup pusat roda, dan logo DACIA pada pintu belakang, di antara ciri hiasan yang lain.

Elemen hiasan topografi yang diinspirasikan daripada peta topografi turut ditampilkan pada garis kontur di bahagian bawah pintu bagi memberikan semangat aktiviti luar kepada pemiliknya kelak. Melengkapkan ciri Extreme yang ada pada bahagian luaran adalah rim Shiny Black bersaiz 16 inci.

Tempat duduk bahagian dalam menggunakan fabrik jenis MicroCloud yang lembut serta seakan fabrik Velvet ini digunakan kerana ianya lebih mudah untuk dijaga sekiranya terkena bahan kotoran berupa lumpur ketika pemiliknya memandu masuk jauh ke dalam hutan. Senang jaga orang kata. Juga terdapat logo Dacia Link yang disulam terhadap tempat duduknya. Begitu juga dengan pelapik lantai yang menggunakan bahan diperbuat daripada getah bagi membuatkannya lebih tahan lasak dan mudah untuk dibersihkan kelak.

Ciri keselamatan tambahan yang ada pada Dacia Jogger Extreme ini termasuklah Extended Grip yang berupaya memberikan cengkaman tambahan ketika melewati laluan yang mungkin sedikit ekstrem. Maklumlah ianya merupakan kenderaan 2WD sahaja.

Menariknya model ini turut didatangkan dengan aksesori pilihan yang membolehkan kerusi kedua diubahsuai menjadi tempat tidur dalam masa yang singkat sahaja. Cukup untuk dua orang dewasa lena dengan selesa. Dan aksesori pilihan ini juga sebenarnya boleh ditempah untuk mana – mana pemilik Dacia Jogger sedia ada memandangkan ianya juga boleh dibuka dan dipasang dengan mudah. Pilihan untuk membeli khemah yang boleh disambung dengan bahagian tailgate juga boleh menjadi sesuatu yang menarik jika mahukan lebih ruang tempat tidur.

Dacia Jogger Extreme ini boleh ditempah dengan harga serendah £20,595 (RM116,987) sahaja. Sudah tentu ianya dianggap masih lagi murah di UK sana.

BACA : DACIA JOGGER MPV MAMPU MILIK, ENJIN 1.0L TURBO 3 SILINDER!

BACA : LADA PERKENAL E-LARGUS, DACIA LOGAN VERSI EV

Google ads

B K

Back to top button