LADA PERKENAL E-LARGUS, DACIA LOGAN VERSI EV
Pengeluar kenderaan dari Rusia, Lada menghasilkan semula Largus yang merupakan generasi pertama Dacia Logan pada Jun 2022 menerusi model e-Largus dan diubah menjadi kereta elektrik edisi pertamanya.
Lada menunjukkan foto model tersebut, namun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai spesifikasi teknikal. Pembangunan model itu sedang dilakukan di bandar Izhevk. Lada mengambil pendekatan hampir serupa dengan syarikat lain yang mengeluarkan kereta elektrik daripada model yang asalnya menggunakan enjin konvensional.
e-Largus menampilkan panel hitam dan trim luaran berwarna biru sebagai tanda ia merupakan kenderaan mesra alam. Buat masa sekarang, e-Largus hadir sebagai van panel dua tempat duduk dan masih belum ada info sama ada model kenderaan penumpang akan ditambahkan pada masa akan datang atau sebaliknya.
Foto bahagian belakang dan kabin belum dikeluarkan. Lada akan mengumumkan butiran tambahan mengenai e-Largus di kemudian hari.
Dalam perkembangan berasingan, Lada dilapor telah menyambung semula pengeluaran beberapa model selepas kilang mereka berehat pada awal tahun 2022 berikutan sekatan dan kekurangan alat ganti akibat tindakan Rusia menceroboh Ukraine.