Buletin

DAIHATSU MALAYSIA BUKA STOR DIGITAL DI LAZADA DAN SHOPEE  

Daihatsu Malaysia secara rasmi melancarkan stor digital e-dagang pertamanya dengan nama MY OS Flagship Store di Lazada dan Daihatsu Malaysia Official Store di Shopee.

Langkah itu bertujuan memberikan pengalaman pembelian yang mudah dan meningkatkan jangkauan pelanggannya. Daihatsu Malaysia yakin insiatif ini akan melengkapkan lagi rangkaian pengedarnya di seluruh negara. 

Stor digital tersebut menawarkan pelbagai alat ganti OEM tulen dengan jumlah barangan akan terus ditambah pada masa depan. Sebagai pengedar eksklusif kenderaan Daihatsu dan komponennya di Malaysia, setiap alat ganti yang diedar adalah 100 peratus tulen dan dibungkus dengan bukti keselamatan.  

Pelanggan juga boleh meminta alat ganti yang dibeli untuk dipasang di pusat servis terpilih di seluruh negara. Pemasangan alat ganti itu layak menerima jaminan selama tiga bulan atau perbatuan sejauh 5,000km tertakluk kepada terma dan syarat. 

Bukan setakat alat ganti, anda boleh menempah Gran Max di stor digital Isuzu sekarang. Dengan yuran tempahan serendah RM500, Gran Max hadir bersama jaminan selama 3 tahun/100,000km (mana-mana tiba dahulu).  

Pelanggan hanya perlu memilih varian Gran Max yang diingini dan membayar yuran tempahan. Mereka kemudian akan menerima satu e-kupon dan dihubungi oleh kakitangan Daihatsu Malaysia untuk menebus e-kupon berkenaan. 

Stor digital itu turut menawarkan barangan original dalam Koleksi Gaya Hidup Daihatsu. Ia merangkumi model diecast serta banyak lagi. 

Sempena pelancaran stor digital itu, Daihatsu Malaysia kini menawarkan diskaun istimewa dan 10 peratus Coins Cashback ke atas barangan terpilih. Selain baucar dan hadiah untuk setiap pembelian alat ganti bermula 21 Februari hingga 31 Mac 2022. 

Google ads
Back to top button