
DAIHATSU BAKAL BAWA MASUK MODEL ROCKY HEV KE INDONESIA – SASAR HARGA BERMULA RM88K
PT Astra Daihatsu Motor (ADM) memberi petunjuk terang bahawa sebuah model hibrid elektrik (HEV) “mesra poket” bakal menyertai barisan produknya di Indonesia tidak lama lagi.
Pengesahan itu hadir menerusi Pengarah Pemasaran & Komunikasi Korporat ADM, Sri Agung Handayani, yang menyifatkan projek berkenaan sebagai sebahagian strategi menawan pembeli kereta pertama.
Menurut data ADM, kenderaan berharga Rp 200 – 300 juta (RM59,000 – RM88,000) masih dikuasai enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pegangan sekitar 51 peratus.
Adopsi elektrik di kelompok yang sama baharu menyentuh 4.4 peratus, 3 peratus daripadanya hibrid, selebihnya bateri penuh (BEV).

Statistik ini menjelaskan kenapa model HEV mampu milik dilihat sebagai peluang besar untuk memecah dominasi ICE tanpa membebankan pembeli kali pertama.
Walaupun ADM belum menamakan modelnya, banyak pihak menjangkakan Daihatsu Rocky Hybrid bakal dipilih. Varian Premium G HEV 1.2L sudah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024, memberi petunjuk awal tentang keseriusan Daihatsu.
Rocky Hybrid menggunakan sistem e-Smart Series Hybrid: enjin 1.2-liter tiga-silinder WA-VEX berfungsi menjana elektrik, manakala motor utama memacu roda. Gabungan itu disokong bateri lithium-ion 4.3Ah berketumpatan tenaga tinggi, sekali gus menawarkan kecekapan bahan api yang dianggarkan mencecah 28 km/L dalam kitaran ujian Jepun.
Buat masa ini, Rocky konvensional CKD di Karawang dijual antara Rp 212 juta hingga Rp 289.8 juta (RM62,000 – RM85,000).

Kehadiran varian hibrid sekitar Rp 300 juta (RM88,000) akan menempatkannya terus di tengah-tengah ‘sweet spot’ bajet keluarga muda, lebih mahal sedikit daripada trims ICE tertinggi, namun jauh lebih murah berbanding kebanyakan BEV kompak yang kini bermain di aras Rp 400 juta (RM117,000) ke atas.
Walau pasaran keseluruhan masih bergelut, Daihatsu mencatat 43,883 unit wholesales dan 46,718 unit jualan runcit sepanjang Januari hingga April 2025.
Angka ini mengekalkan jenama itu di kelompok pengeluar terlaris negara, sekali gus menyediakan landasan kukuh untuk pelancaran HEV baharu.
- BACA: PROTON – CONTINENTAL JALIN KERJASAMA: PEMILIK SAGA BOLEH TUKAR TAYAR DARI RM211 DI PUSAT SERVIS PROTON
- BACA: JUALAN KERETA THAILAND NAIK BUAT PERTAMA KALI DALAM 23 BULAN
- BACA: BAJAJ SELAMATKAN KTM DENGAN DANA RM3.84 BILION , KINI JADI PEMILIK BAHARU
- BACA: RASMI: CFMOTO 800MT-X TIBA DI MALAYSIA – RM48,888