
DAIHATSU MOVE BAHARU MUNCUL SELEPAS TERGENDALA SELAMA DUA TAHUN – BILA NAK REBADGE JADI KENARI?
Selepas hampir dua tahun hilang dari radar, Daihatsu kini muncul semula dalam dunia automotif dengan Daihatsu Move serba baharu. Teaser model kei generasi ketujuh sudah dikeluarkan dan ia dijangka mula dipasarkan Jun ini.

Pengeluaran Move generasi sebelumnya terhenti pada musim panas 2023 bila Daihatsu terlibat dalam skandal pemalsuan keputusan ujian keselamatan. Ia bukan hanya melambatkan proses pelancaran model baharu tapi juga membuatkan satu siasatan secara menyeluruh dilancarkan terhadap industri automotif Jepun. Beberapa pengeluar lagi turut didapati sekaligus melambatkan lagi pelancaran model-model bahru dari negara matahari terbit itu.
Kini kesemuanya sudah menemui noktah penamat dan Daihatsu telah menerbitkan laman web khas untuk memperkenalkan Move generasi ketujuh ini. Gambaran awal menunjukkan ciri yang lebih agresif berbanding sebelumnya dengan lampu utama LED yang lebih tipis dan gril lebih besar.

Bahagian-bahagian lain turut dinaik taraf agar lebih segar lengkap dengan pintu belakang gelongsor yang lebih praktikal. Konsep berkotak ini memang popular bagi kei car generasi sekarang. Memang dah tak nampak macam Perodua Kenari dah pun.
Move baharu ini dijangkakan turut menggunakan chasis DNGA yang sama seperti model-model Toyota dan Daihatsu lain. Daihatsu turut mengesahkan dua pilihan enjin untuk Move baharu ini. Turbo dan juga NA dengan kemungkinan sedikit suntikan elektrifikasi untuk penjimatan bahan api.
Sama juga macam kei car lain, kedua varian enjin Move ini akan ditawarkan dengan konfigurasi 2WD dan 4WD. Harga yang bakal ditawarkan ialah sekitar USD8,800 dan USD13,500 di Jepun. Murah sangat tu. Import masuk Malaysia terus jadi kereta mewah.

Untuk rekod Daihatsu Move mula diperkenalkan pada tahun 1995 dan telah terjual sebanyak 3.4 juta unit sepanjang enam generasi pengeluaran. Power betul. Kita kat Malaysia je masih dok convert Kenari lama dengan halfcut yang dah semakin pupus.
