Buletin

DUA LELAKI MAUT SELEPAS EMPAT JAM BERATUR BELI PETROL DAN MINYAK TANAH

Dua orang lelaki maut ketika mereka berdiri dalam barisan panjang untuk mendapatkan bahan api di Colombo, Sri Lanka ketika harga komoditi semakin melambung tinggi sehingga membawa kepada inflasi.

Polis Sri Lanka berkata, kedua-dua mangsa berusia 70-an tersebut meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk membeli petrol dan minyak tanah di dua wilayah berbeza di negara itu, kata jurucakapnya, Nalin Thalduwa.

Selama berminggu-minggu orang ramai beratur di pam, selalunya selama berjam-jam dan negara itu sudah mengalami pemotongan bekalan elektrik.

“Seorang pemandu tiga roda berusia 70 tahun yang menghidap kencing manis dan jantung, manakala lelaki kedua berusia 72 tahun menunggu dalam barisan selama kira-kira empat jam untuk mendapatkan bahan api,” kata Thalduwa.

Presiden Kesatuan Pekerja Am Petroleum, Ashoka Ranwala, berkata Sri Lanka menggantung operasi di satu-satunya loji penapisan bahan apinya selepas stok minyak mentah habis. Kementerian tenaga tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan ulasan.

Penggunaan minyak tanah meningkat selepas keluarga berpendapatan rendah mula beralih daripada gas memasak akibat kenaikan harga bahan api itu.

Laugfs Gas, pembekal kedua terbesar Sri Lanka menaikkan harga sebanyak 1,359 rupee (RM20.71) untuk silinder 12.5 kg, kata syarikat itu dalam satu kenyataan. Sri Lanka bergelut untuk mencari dana membayar penghantaran bahan api yang semakin mahal sejak Januari lalu, dengan rizab mata wang asingnya merosot kepada $2.31 bilion (RM9.69 bilion) bulan lalu.

Inflasi Sri Lanka bulan lalu mencecah 15.1 peratus antara yang tertinggi di Asia, dengan inflasi makanan melonjak kepada 25.7 peratus, menurut data terkini kerajaan.

Awal bulan ini, bank pusat Sri Lanka mengapungkan rupee menyebabkan mata wang menjunam lebih daripada 30 peratus untuk didagangkan pada kira-kira 275 rupee berbanding setiap dolar AS.

Harga susu tepung meningkat sebanyak 250 rupee (RM3.77) untuk pek 400 g semalam, mendorong pemilik restoran menaikkan kos secawan teh susu kepada 100 rupee (RM5.52). – REUTERS

Google ads
Back to top button