Buletin

VOLVO TAK NAK TUNGGU, TERUS GASAK EV

Volvo terus mempercepatkan peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV) walaupun banyak pengeluar automotif global kini lebih berhati-hati dan kembali memberi fokus kepada model hibrid serta enjin pembakaran dalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson berkata, syarikat itu mahu memastikan ia bersedia menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang penghujung dekad ini, walaupun pasaran dunia masih bergerak perlahan ke arah tersebut.

Menurut beliau, Volvo kini memberi tumpuan kepada pembangunan lebih banyak model EV menggunakan platform baharu SPA3 yang turut menjadi asas kepada SUV elektrik terbaru mereka, EX60.

Platform itu dibangunkan untuk menyokong teknologi kenderaan berasaskan perisian serta kemas kini over-the-air (OTA) yang membolehkan sistem kenderaan terus dipertingkat dari semasa ke semasa.

Samuelsson percaya syarikat berskala kecil seperti Volvo tidak boleh memperlahankan pembangunan teknologi elektrik jika mahu kekal kompetitif dalam industri automotif global.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak semua pasaran bersedia menerima EV sepenuhnya. Sebagai langkah peralihan, Volvo akan terus membangunkan generasi baharu model hibrid bersama syarikat induknya, Geely, bagi mengurangkan kos pembangunan dan berkongsi teknologi.

Dalam perkembangan lain, Volvo mengesahkan model XC40 masih akan diteruskan dan dijangka menerima kemas kini selepas tahun model 2026.

Samuelsson turut berseloroh bahawa beliau mungkin akan bersara terlebih dahulu sebelum XC40 dihentikan pengeluarannya.

Bagi pasaran Amerika Syarikat pula, Volvo dilihat tidak bercadang membawa semula crossover elektrik kecil EX30 selepas model itu berdepan pelbagai cabaran termasuk isu perisian, tarif import dan kehilangan insentif cukai yang menyebabkan harganya meningkat.

Sebaliknya, Volvo yakin model EX60 serta SUV elektrik tiga baris EX90 mempunyai potensi lebih besar di pasaran berkenaan.

EX90 sebelum ini dilaporkan mengalami beberapa masalah perisian pada peringkat awal pengeluaran, namun Volvo mendakwa isu tersebut kini telah diselesaikan.

Menyentuh soal model masa depan, Volvo ketika ini tidak merancang membawa MPV mewah EM90 ke pasaran Amerika Syarikat kerana model itu dianggap lebih sesuai untuk pasaran China.

Namun, Samuelsson tidak menolak kemungkinan Volvo menghasilkan lebih banyak model berprofil rendah atau wagon pada masa akan datang kerana beliau melihat trend SUV mungkin tidak akan kekal dominan selama-lamanya.

Google ads
Back to top button