Buletin

EASTCOST RALLYING BUKA TIRAI MUSIM BAHARU SERTAI RALLY OF JEMPOL 2025

Jempol, Negeri Sembilan menjadi destinasi pembuka tirai siri Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dijenamakan sebagai ‘Rally of Jempol 2025’ untuk dua hari perlumbaan bermula pada Sabtu ini di mana 36 pelumba membabitkan 18 buah jentera rali telah mengesahkan penyertaan untuk memburu podium pertama mereka bagi musim ini.

13 kategori menjadi taruhan melibatkan perlumbaan sejauh 239.88KM dengan 10 peringkat perlumbaan yang perlu ditempuhi oleh setiap peserta untuk mencari catatan masa terpantas di ladang sawit FELDA Raja Alias dan FELDA Serting Hilir, Jempol.

Penampilan pelumba lagenda negara Karamjit Singh bersama pemandu arah Daveendar Singh bersama jentera Proton Gen2 4WD bakal menjadi perhatian di Jempol ini untuk beraksi bagi kategori Terbuka untuk bersaing rapat dengan beberapa pelumba tempatan yang kian meningkat naik di persada rali kebangsaan.

Begitu juga buat pasukan kerdil dari pantai timur, Eastcoast Rallying yang mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 4WD dipandu oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu arah Mohd Hazwan Fauzi turut meletakkan harapan yang tinggi untuk meraih podium bagi perlumbaan pertama mereka musim ini.

“Segala-galanya di tahap yang terbaik begitu juga dengan persiapan jentera lumba kami untuk perlumbaan pertama kami bagi musim ini di Jempol nanti”.

“Sasaran awal kami sudah pasti untuk menaiki podium namun untuk perlumbaan pertama bagi musim ini setiap pasukan mempunyai kelebihan tersendiri setelah mempunyai masa yang amat panjang bagi persiapan pasukan masing-masing setelah berakhirnya perlumbaan di Asahan, Melaka yang menutup tirai musim lalu.“, ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang ditemui sewaktu membuat persiapan akhir jentera Eastcoast Rally di R&R Sports Speed Garage, Kajang Perdana, Selangor.

Jelasnya lagi walapun tanpa gandingan pemandu arah Amir Izham Abd Aziz bagi perlumbaan pertama ini beliau tetap optimis Eastcoast Rallying masih mampu untuk menaiki podium di Jempol nanti.

Amir Izham Abd Aziz yang terpaksa melupakan perlumbaan pembukaan musim ini berikutan kekangan jadual padat program kejurulatihan skuba antarabangsa di Pulau Perhentian, Terengganu ketika ini.

Jesteru itu tugas pemandu arah pasukan Eastcoast Rallying digalas sementara oleh Mohd Hazwan Fauzi yang turut pernah beraksi di beberapa perlumbaan kejuaraan rali tempatan sebelum ini.

Untuk rekod, Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dianjurkan oleh Millennium Motorsports Adventures Club(MMAC) untuk tahun kedua ini turut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Permotoran Malaysia(MAM) selaku badan induk sukan kebangsaan yang mengawalselia penganjuran sukan permotoran tanah air.

Sebanyak 4 siri perlumbaan rali untuk sepanjang musim ini di mana Jempol, Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama dengan lokasi seterusnya di Sepang Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang menjadi destinasi kedua kejuaraan rali ini bersempena dengan MAM Malaysia Festival of Speed(MFOS) yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 Ogos nanti.

BACA : EASTCOAST RALLYING KUTIP PENGALAMAN PENUH DRAMATIK MENUTUP TIRAI PERLUMBAAN MUSIM 2024

BACA : EAST COAST RALLYING RAIH PODIUM BERGANDA DI KBS RALLY SPRINT 2024

Google ads

B K

Back to top button