
EASTCOAST RALLYING KUTIP PENGALAMAN PENUH DRAMATIK MENUTUP TIRAI PERLUMBAAN MUSIM 2024
Setelah sekian lama sejak 2019 tidak beraksi di litar berbatu krikil(gravel), Eastcoast Rallying berpuas hati untuk menamatkan 6 daripada 9 peringkat cabaran perlumbaan Rali Asahan yang telah berakhir pada 22 Disember 2024 lalu.
Terdahulu Subaru Impreza WRX V8 yang membuat penampilan pertama bersama pasukan beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran SS 1 dan SS 2 namun di pertengahan cabaran SS 3, jentera lumba ini mengalami masalah mekanikal sehinggakan memaksa untuk ditunda keluar dari kawasan perlumbaan.

Setelah masalah berjaya diatasi, Eastcoast Rallying meneruskan perlumbaan pusingan kedua(Leg 2) dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang ‘Super Rally’ untuk terus kekal berada di dalam kelompok perlumbaan.
Walaupun berjaya merapatkan jurang untuk menamatkan perlumbaan SS 4 dan SS 5, momentum Eastcoast Rallying sekali lagi terpadam berikutan kerosakan ‘fuel pump’ memaksa untuk sekali lagi ditunda keluar dari pertengahan SS 6 ke ‘service park’ pasukan.
“Berlumba dengan jentera yang mempunyai reputasi besar di pentas dunia rali ianya tetap bukan laluan mudah untuk kami yang pertama kali beraksi dalam kategori 4WD(M12) ini sehinggakan terpaksa dua kali ditunda keluar dari litar di Asahan ini berikutan masalah teknikal.”

“Terdahulu kami berjaya untuk menamatkan perlumbaan di SS 1 dan SS 2 dengan baik sebelum terhenti di pertengahan SS 3 berikutan masalah teknikal.”
“Setelah diperbaiki, kami berjaya menamatkan perlumbaan di SS 4 dan SS 5 sebelum sekali lagi mengalami masalah teknikal di SS 6 sekaligus memaksa kami untuk tidak dapat meneruskan baki-baki perlumbaan.
“Secara peribadi sejak menjadi pelumba rali inilah pengalaman pertama kali untuk ditunda keluar sebanyak dua kali dalam satu perlumbaan.
“Walaupun sedemikian kami tetap berpuas hati untuk menamatkan kalendar perlumbaan musim ini dengan pertama kali berentap dalam kategori pacuan empat roda. Satu pengalaman yang amat bermakna untuk kami akhiri musim ini dan seterusnya untuk bermula musim baru.” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang secara kompetitif bersama pasukan Eastcoast Rallying sejak diawal penubuhan pada 2017.

Manakala buat Amir Izham selaku Juruarah bagi Eastcoast Rallying menyifatkan sekiranya masalah mekanikal tidak menjadi kekangan sudah tentu Eastcoast Rallying mampu untuk berada dikedudukan yang lebih baik.
“Cuaca di Asahan amat memihak kepada Eastcoast Rallying namun masalah mekanikal sedikit sebanyak merencatkan perlumbaan kami. Sekiranya tidak sudah tentu kami mampu untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik untuk musim ini.” Mengulas lanjut oleh Amir Izham selaku pemandu arah Eastcoast Rallying sejak di awal penubuhan pasukan ini.
Untuk rekod, kali terakhir Eastcoast Rallying beraksi di atas litar batu krikil(gravel) adalah pada tahun 2019 sewaktu penganjuran Tri-Nations Sprint Rally bertempat di Tanamera, Sungai Buloh.
BACA : EASTCOAST RALLYING BERSEDIA DENGAN JENTERA BAHARU UNTUK RALLY OF ASAHAN
BACA : RALLY OF ASAHAN 2024 – KARAMJIT SINGH MASIH LAGI UNGGUL UNTUK MENANG DI MELAKA