
EAST COAST RALLYING RAIH PODIUM BERGANDA DI KBS RALLY SPRINT 2024
Pasukan rali yang berpangkalan dari Kuala Terengganu, East Coast Rallying membuka tirai kalendar perlumbaan musim ini dengan penuh bermakna setelah mengungguli di tempat pertama kategori P10 bagi aksi perlumbaan di KBS Rally Sprint yang berakhir pada Ahad lalu di MAEPS, Serdang.
Menambah sensasi buat pasukan, jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal East Coast Rallying pada musim ini dilihat menjadi taruhan terbaik meraih momentum hari pertama perlumbaan dengan kelebihan 12 saat untuk masa keseluruhan 21 minit 21 saat di hadapan jentera rali Mitsubishi Evo 8 milik pasukan Marcars Motorsports yang dipandu oleh lagenda sukan rali tanah air Karamjit Singh bersama Juruarah Deveender Singh.
Di akhir perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca yang cukup terik pada permukaan berturap sepenuhnya itu, East Coast Rallying berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 33 minit 25 saat.

Keputusan ini membolehkan East Coast Rallying di tempat pertama mencipta jurang 7 saat untuk menafikan pemandu Magnax Racing Team ditempat kedua dan tempat ketiga milik pasukan EZZ Machine dengan catatan masa 34 minit 1 saat bagi kategori P10 ini.
Menambah keterujaan pada awal musim ini, East Coast Rallying yang dipacu oleh anak jati Kuala Terengganu Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama bersama jurupandu arah Amir Izham dari Kota Bharu turut meraih tempat ketiga bagi kategori keseluruhan pacuan dua roda(2WD) sekaligus meraih podium berganda yang menjadi momentum tambahan buat pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu ini untuk terus memperbaiki rekod pencapaian musim lalu.
“Syukur Alhamdullilah satu momentum yang baik di awal musim buat East Coast Rallying di mana meletakkan misi pada tahun ini untuk memperbaiki rekod pencapaian kami berbanding musim lalu.
“Pada awal perlumbaan, kami tidak menjangkakan dengan kemampuan jentera kami berkapasiti enjin lebih kecil mampu untuk mendahului Mitsubishi Evo 8 yang dipandu oleh lagenda rali tanah air Karamjit Singh. Ianya satu motivasi yang baik untuk menamatkan perlumbaan pada Leg berikutnya”
“Kami harapkan momentum kejayaan ini tidak hanya terhenti di sini sahaja di mana kami masih menyasarkan beberapa podium sepanjang musim ini.”, ujar pelumba Eastcoast Rallying Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki.

Menurutnya lagi, cabaran teknikal yang disediakan penganjur benar – benar menguji peserta untuk mengendalikan jentera serta cuaca yang panas. Mujur faktor keserasian dua pemuda Pantai Timur ini semenjak dari tahun 2017 lagi membolehkan kejayaan dituai kali ini dengan podium berganda.
Untuk rekod Juruarah. Amir Izham juga merupakan seorang jurulatih sukan selam skuba bertauliah PADI turut pernah dinobatkan juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman.
Pada penyertaan tahun lalu, East Coast Rallying menamatkan di tempat ke 10 keseluruhan, dengan perlumbaan berlangsung juga di MAEPS Serdang meliputi jarak 24.43km.
BACA : EAST COAST RALLYING SASAR PERBAIKI REKOD DI KBS RALLY SPRINT 2024
BACA : KBS RALLY SPRINT 2024 – MITCH CHONG MEMBUAT KEJUTAN UNTUK MENANG