
ENJIN AUDI V12 5500CC TURBO DIESEL, 3 KALI MENANG LE MANS
Jentera perlumbaan Audi R8 LMP merupakan jentera perlumbaan yang memiliki sejarah yang unik, memenangi perlumbaan Le Man 24 jam pada tahun 2000, 2001, 2002, 2004 dan 2005. Ia dikuasakan dengan enjin 3600cc V8 turbo berkembar yang menjana sehingga 610 kuasa kuda.
Namun bagi tahun 2006, Audi bertindak luar biasa dengan menggunakan enjin V12 5500cc turbo berkembar turbodiesel yang dipasang pada jentera Audi R10 TDI. Ya tiada siapa sangka sebuah enjin turbodiesel yang biasa digunakan pada trak pikap dan lori trailer boleh memenangi perlumbaan yang biasa dimenangi oleh enjin petrol
Dari segi fizik, enjin turbodiesel memiliki beberapa kelebihan seperti lebih efisyen dan boleh menghasilkan tork yang sangat tinggi pada RPM yang rendah. Tork yang tinggi ini dijana kerana turbodiesel membakar secara perlahan, dengan tekanan tinggi, nisbah mampatan tinggi dan juga lejang enjin yang lebih besar.
Secara keseluruhan, enjin turbodiesel juga lebih efisyen kerana bahan api diesel memiliki ketumpatan tenaga 15% lebih banyak daripada petrol. Jadi ketika jentera lain perlu memasuki pit selepas 12 pusingan, jentera R10 TDI ini boleh memasuki pit pada pusingan ke 16
Bagi memastikan enjin turbodiesel tahan lasak, blok enjin, kepala silinder, aci engol dan piston dibuat dengan menggunakan cast iron (besi tuang) yang lebih berat. Berat adalah musuh kepada kereta lumba kerana berat boleh mengganggu dinamik pegendalian kenderaan di selekoh terutama pada kelajuan tinggi.

Audi mula membangunkan enjin turbodiesel ini seawal tahun 2005 lagi dengan enjin awal cast iron ini telah diuji selama 1000jam di atas mesin dyno. Head of Engine Technology at Audi Sport Ulrich Baretsky mencadangkan enjin turbodiesel ini dihasilkan daripada aluminium silikon aloi dan meminta Bosch Electronic menulis satu program pengaturcaraan komputer khas untuk kegunaan enjin ini.
Sistem suntikan bahan api common rail dengan piezoelectric Bosch juga berupaya menghantar diesel ada 1600 bar, dan dengan gabungan sistem turbo Garret berkembar yang menjana sehingga 3 bar, enjin turbodiesel ini menjana 641 kuasa kuda dan 1100Nm tork dari 2000 RPM sehingga 6500 RPM
Bagi menunjukkan enjin turbodiesel ini bukan sahaja lebih bersih dan lebih kompetitif daripada enjin petrol, Audi turut meminta Dow Automotive membekalkan Diesel Particulate Filter untuk jentera R10 ini. DPF ini mengandungi struktur seramik dalam bentuk sarang lebah yang boleh menapis asap jelaga dan menjadikan enjin ini 5dB lebih senyap pada 105dB
Selain sangat berkuasa, enjin ini juga berupaya menunjukkan penjimatan bahan api yang sangat bagus dengan purata penggunaan sekitar 45.56km bagi setiap 100km. Sebagai perbandingan enjin F1 pada era yang sama menggnakan sekitar 75 liter bagi setiap 100km.
Jentera Audi R10 TDI ini melakukan 380 pusingan dan 5187km pada tahun 2006 dan seterusnya menjuarai Le Mans pada tahun 2006, 2007 dan 2008.


