Artikel Pilihan

ENJIN NISSAN VARIABLE COMPRESSION TURBO 3 SILINDER, RAIH ANUGERAH WARDS 10 BEST ENGINE

Pada tahun 2019, Nissan berjaya membuktikan yang enjin 4 silinder 2000cc turbo dengan teknologi nisbah mampatan boleh ubah mereka adalah antara enjin yang terbaik ketika itu dan pada tahun 2022 Nissan sekali lagi meraih anugerah Wards 10 Best Engine tapi kali ini ia adalah enjin 3 silinder.

Enjin 1500cc 3 silinder ini merupakan pilihan tunggal bagi crossover kompak Rogue tapi mengekalkan teknologi mampatan silinder yang boleh berubah mengikut operasi enjin samaada mahukan kuasa ataupun penjimatan bahan api

David Zoia merupakan antara panel hakim yang terlibat mengakatakn enjin VC-Turbo ini sememangnya canggih, memberikan penjimatan bahan api dan kuasa yang bagus. Ia merupakan enjin yang seimbang bagi kegunaan crossover Rogue.

Sama seperti enjin VC Turbo 4 silinder, enjin 3 silinder ini akan menggunakan nisbah mampatan 14:1 dalam semua keadaan pemanduan. Tapi sebaik sahaja kuasa maksima diperlukan, nisbah mampatan akan berubah kepada 8:1 bersama-sama boost turbo yang makin meningkat.

Apa yang berlaku pada mekanisme enjin ini boleh dikatakan agak bijak, dengan enjin menggunakan sistem sambungan mekanikal yang akan mengubah lejang piston menjadi lebih panjang sebanyak 1.2mm walaupun enjin masih beroperasi seperti biasa.

Panel hakim juga mendapati perubahan rasa, gegaran dan operasi daripada Eco kepada mode Power hampir tidak dapat dikesan melainkan deruan kuasa enjin yang lebih mantap. Ketika mode Power juga, bunyi ekzos enjin akan menjadi semakin kuat dan juga sporti terutama bila gear CVT beroperasi dalam mode manual dengan gear maya melalui penukar gear di belakang stering.

Malah panel hakim memuji kebolehan enjin 3 silinder ini beroperasi dengan lancar tanpa gegaran termasuklah dalam keadaan melahu dan bergerak perlahan ketika kesesakan jalan raya. Enjin 1500cc ini menjana 201 kuasa kuda pada 5600 RPM, satu angka yang besar jika dibandingkan dengan enjin 2500cc Nissan yang menjana hanya 181 kuasa kuda

Tork maksima pula ialah pada 305Nm tork masuk seawal 2800RPM dan kekal sehingga 4000 RPM. Dalam aspek penjimatan bahan api, ia memberikan bacaan sekitar 15.38km bagi setiap liter petrolketika dipandu di lebuh raya dan 11.9km/liter jika dipandu di bandar.

Google ads
Back to top button