GAMBARAN FORD MUSTANG DIJADIKAN JENTERA OFF-ROAD
Cerita supercar diberikan keupayaan off-road bukanlah satu perkara baharu, malah Lamborghini juga diberitakan sedang membangunkan sebuah Huracan Sterrato yang bakal diperkenalkan tahun ini.
Bagaimana pula jika kereta muscle kegemaran CEO dan tauke mekap timbang kati diberikan rupa paras jentera off-road?
Seorang artis memperlihatkan Mustang yang katang itu menerusi akaun instagram @wb.artist20, di mana beliau berkolaborasi dengan Stewart Webb (@the_xcalibur) untuk memperlihatkan gambaran Mustang jika diberikan lencana Raptor yang biasa kita lihat pada trak pikap F-150 dan Ranger.
Sudah pasti untuk tujuan itu, ‘Mustang Raptor’ ini diberikan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi untuk memuatkan tayar off-road A/T, penambahan fender lebar, serta penanda sisi yang wajib ada pada sebuah kereta Amerika.
Imej Raptor diteruskan pada bahagian depan, di mana Mustang itu diberikan jeriji dengan perkataan FORD, penambahan lampu LED, serta rekaan bonet terbonjol yang memberikan petunjuk kehadiran enjin V8 yang lebih berkuasa.
Akhir sekali, bahagian belakang Mustang ini dipasangkan dengan sayap baharu, skid plate, serta penjenamaan Raptor R di antara lampu belakang.
Adakah ia bakal menjadi satu kenyataan kelak? – Instagram wb.artis20