Buletin

JPJ SITA 23 KERETA, PEMANDU WARGA ASING TERLIBAT KERETA SAPU – TAWAR TAMBANG SERENDAH RM5

Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur membongkar aktiviti pemandu warga asing yang menawarkan khidmat pengangkutan seakan ‘e-hailing’ secara tidak sah di sekitar ibu negara.

Operasi bermula kira-kira jam 8 pagi itu mendapati pemandu warga asing terbabit mengenakan caj serendah RM5 bagi perjalanan sejauh lima kilometer pertama.

Malah, ada juga warga tempatan turut terlibat dalam aktiviti kereta sapu ini.

Pemeriksaan anggota operasi JPJ Kuala Lumpur menerusi Operasi Pengarah (Kenderaan Perkhidmatan Awam) mendapati rata-rata pemandu tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan kereta persendirian yang disewa daripada orang lain untuk mencari wang sampingan.

Seorang pemandu warga asing berusia lingkungan 20-an ketika ditahan memberikan alasan bahawa penumpang yang dibawa merupakan rakan sekelasnya dan hanya membantu menghantarnya ke destinasi.

“Saya cuma bawa kawan, tak buat hantar dan ambil orang dengan bayaran,” katanya.

Selain itu, seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang juga penumpang kereta sapu tersebut memaklumkan dia mendapatkan khidmat kereta sapu itu dari kumpulan Telegram meskipun sedar terdedah dengan bahaya.

“Ini memang salah, tapi perkhidmatannya lagi murah RM3 hingga RM5,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur, Raja Nursyuhaidah Raja Azmi itu dijalankan di empat lokasi sekitar Taman Melati, Wangsa Walk Mall, Setapak Central Mall dan KL East Mall.

“Sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya lesen memandu (22 kes), salah guna lesen kenderaan motor (LKM) (64 kes) dan cermin gelap (21 kes) selain sitaan 23 kereta.

“JPJ telah menahan 23 pemandu warga asing terdiri daripada 10 warga tempatan, Afghanistan (1), Somalia (1), Indonesia (4), Mesir (1), Bangladesh (5) dan Yemen (1),” jelasnya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button