
FERRARI 12CILINDRI MANUALE DILANCARKAN- JANA 830HP, TERHAD 1,499 UNIT
Ferrari memperkenalkan Ferrari 12Cilindri Manuale, model edisi terhad yang membawa semula pengalaman pemanduan transmisi manual dalam pendekatan moden menerusi sistem baharu dikenali sebagai Manuale By-Wire.
Model khas berasaskan Ferrari 12Cilindri itu dibangunkan untuk peminat yang mahukan pengalaman pemanduan lebih fizikal dan interaktif.
Inspirasi pembangunan model ini datang daripada kereta Gran Turismo Ferrari era 1950-an hingga 1970-an, namun dipadankan dengan teknologi terkini bagi menghasilkan hubungan yang lebih rapat antara pemandu dan jentera.
Jantung kepada Ferrari 12Cilindri Manuale ialah sistem Manuale By-Wire, yang menggabungkan tuil gear baharu bersama pedal klac elektronik (clutch-by-wire). Sistem ini dibangunkan sepenuhnya di Maranello sebagai interpretasi moden terhadap transmisi manual konvensional.

Walaupun menggunakan teknologi elektronik, Ferrari menegaskan rasa pertukaran gear masih menyerupai sistem mekanikal tradisional menerusi maklum balas fizikal yang tepat, konsisten dan semula jadi.
Tambahnya lagi, pembangunan teknologi itu turut melibatkan kepakaran daripada pasukan projek Hypersail Ferrari.
Pemandu boleh memilih mod manual untuk enam kelajuan hadapan serta gear undur, atau bertukar kepada mod automatik bagi perjalanan yang lebih santai.
Sistem itu masih menggunakan asas transmisi dwi-klac (DCT) lapan kelajuan Ferrari, namun menerima komponen baharu termasuk tuil gear, panel kawalan, pedal klac elektronik serta perisian kawalan enjin dan transmisi yang dibangunkan semula.
Mekanisme tuil gear direka dengan sensor serta sistem kinematik khas yang menghasilkan klik dan rintangan seperti kotak gear manual tradisional.

Ia turut mempunyai fungsi keselamatan yang menghalang gear dimasukkan sekiranya pedal klac tidak ditekan atau gear yang dipilih tidak sesuai.
Pedal klac elektronik pula menggunakan sensor kedudukan berketepatan tinggi untuk mengawal operasi klac secara hidraulik. Ferrari turut membangunkan lengkung tekanan pedal yang menyerupai sistem mekanikal, sekali gus memberikan pengalaman lebih autentik ketika pertukaran gear.
Jika pertukaran gear dilakukan dengan tepat, pemanduan akan terasa lancar. Sebaliknya, kesilapan ketika menyelaras klac dan pendikit boleh menyebabkan sentakan atau enjin mati, sama seperti kereta manual konvensional.
Kuasa pula disalurkan oleh enjin V12 aspirasi semula jadi 6.5 liter berkapasiti 6,496cc yang menghasilkan 830hp pada 9,250rpm dan 678Nm pada 7,250rpm.
Enjin dengan nisbah mampatan 13.5:1 itu mampu berputar sehingga 9,500rpm, sekali gus mengekalkan karakter V12 Ferrari yang terkenal dengan penghantaran kuasa pada putaran tinggi.

Dari segi prestasi, Ferrari mendakwa 12Cilindri Manuale mampu memecut dari 0-100km/j dalam hanya 2.9 saat, manakala 0-200km/j diselesaikan dalam kurang 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum melebihi 340km/j.
Keupayaan membrek juga mengagumkan dengan jarak hentian 31.4 meter dari 100km/j dan 122 meter dari 200km/j.
Model ini dibina di atas casis dengan jarak roda 2,700mm serta ukuran keseluruhan 4,733mm panjang, 2,176mm lebar dan 1,292mm tinggi.
Berat keringnya hanya 1,565kg, menghasilkan nisbah berat kepada kuasa 1.88kg bagi setiap hp, manakala agihan berat hampir seimbang pada 48.4 peratus di hadapan dan 51.6 peratus di belakang.
Ferrari turut melengkapkan model ini dengan rim 21-inci yang dibalut tayar bersaiz 275/35 di hadapan dan 315/35 di belakang, selain sistem brek cakera karbon berdiameter 398mm di hadapan dan 360mm di belakang.

Turut melengkapkan pakej prestasi ialah teknologi elektronik seperti SSC 8.0, eDiff, Traction Control, ABS Evo, Electric Power Steering (EPS) serta sensor gerakan enam dimensi.
Bahagian kabin menerima sentuhan eksklusif dengan konsol tengah baharu yang menampilkan tuil gear, tombol aluminium bulat, corak gear enam kelajuan klasik serta susunan tiga pedal yang memfokuskan pengalaman pemandu.
Ferrari hanya menghasilkan 1,499 unit Ferrari 12Cilindri Manuale di seluruh dunia. Jumlah itu dipilih bagi memperingati kapasiti enjin V12 Ferrari pertama yang diperkenalkan pada tahun 1947.
Model eksklusif ini turut menerima spesifikasi Tailor Made tersendiri, lencana sisi berukir laser, kemasan jalur halus pada splitter hadapan dan sayap belakang yang diinspirasikan daripada Ferrari 365 GTB4, rim tempa lima jejari khas serta ambang pintu aluminium yang diukir dengan logo model berkenaan.

Tangki bahan api berkapasiti 92 liter dan ruang simpanan 270 liter menjadikan model ini masih praktikal untuk kegunaan Grand Tourer, walaupun menawarkan prestasi luar biasa.
Ferrari turut menyatakan penggunaan bahan api berada pada 15.5 liter bagi setiap 100km, dengan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 353 g/km.

