
IRAS XIAOMI SU7, INI GALAXY TT BAHARU DARIPADA GEELY – TAWAR JARAK GERAK 725KM
Geely secara rasmi memperkenalkan sedan elektrik baharunya, Galaxy TT, dalam satu acara di Shanghai 1862 Fashion Art Centre.
Model yang bakal memasuki pasaran China pada Ogos 2026 itu tampil dengan rekaan fastback sporty yang mengingatkan ramai kepada Xiaomi SU7, sekali gus menyasarkan golongan pembeli muda.
Dari segi dimensi, Galaxy TT mempunyai panjang 4,999mm, lebar 1,919mm, tinggi 1,479mm serta jarak roda 2,920mm.
Rekaan badan yang rendah bersama nisbah lebar kepada tinggi 1.3 membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik selain menyerlahkan imej sporty.

Pembeli turut boleh memilih daripada lapan pilihan warna luaran termasuk;
- Fjord Blue
- Olive Green
- Sunny Noon Blue
Galaxy TT dibangunkan menggunakan platform elektrik 800V dan dipadankan dengan pek bateri litium-ion keluaran CATL.
Tiga kapasiti bateri ditawarkan iaitu 52.4kWh, 63.8kWh dan 75.2kWh, dengan jarak pemanduan mengikut kitaran CLTC antara 540km hingga maksimum 725km bergantung kepada varian yang dipilih.
Dari aspek prestasi, Geely menawarkan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian asas menggunakan satu motor elektrik berkuasa 245kW, manakala versi AWD menggabungkan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 425kW.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu utama Floating Star-Diamond serta bukaan udara tiga bahagian yang memberikan karakter lebih agresif.

Di belakang pula, spoiler aktif elektronik boleh dilaraskan kepada tiga kedudukan dengan sudut bukaan maksimum 22.5 darjah, sekali gus menghasilkan daya tekan ke bawah sehingga 508N. Lampu belakang pula menggunakan rekaan Star-Diamond yang menggabungkan 108 unit LED.
Ruang kabin menampilkan susun atur moden dengan empat pilihan tema warna seperti Mellow Red dan Rock Black.
Sistem infotainmen menggunakan Flyme Auto generasi kedua yang menghubungkan paparan instrumen digital, skrin sentuh tengah serta paparan realiti tambahan (AR-HUD). Sistem audio turut direka dengan tiga pembesar suara khas yang diinspirasikan daripada elemen seni bina tradisional China.
Dari sudut praktikaliti, Galaxy TT menyediakan ruang simpanan hadapan berkapasiti 110 liter, manakala ruang kargo belakang menawarkan 475 liter di bahagian utama dan tambahan 53 liter di ruang bawah.
Turut disediakan ialah laci papan pemuka 12 liter, ruang simpanan 8.5 liter di bawah tempat duduk belakang serta petak penyejuk dan pemanas berkapasiti 5.2 liter. Kabin juga dilengkapi beberapa titik pemasangan magnetik dan berulir bagi memudahkan aksesori gaya hidup dipasang terus pada kenderaan.
Bagi sistem bantuan pemanduan, Geely menawarkan dua tahap kelengkapan. Varian standard menerima pakej bantuan pemandu asas, manakala varian lebih tinggi dilengkapi sensor LiDAR yang dipasang pada bumbung untuk menyokong fungsi bantuan pemanduan yang lebih canggih.

