Buletin

TEMPAHAN LEAPMOTOR B03X DIBUKA DI EROPAH – 197HP, JARAK GERAK SEHINGGA 382KM

Leapmotor terus memperkukuh kehadirannya di pasaran global apabila membuka tempahan bagi model crossover elektrik terbaharu, Leapmotor B03X di Eropah bermula bulan ini.

Ditawarkan pada harga permulaan €24,900 (sekitar RM116,148), B03X hadir sebagai crossover urban kompak yang menyasarkan pengguna bandar dengan rekaan moden, saiz mesra kota serta teknologi terkini.

Menurut Leapmotor, model berkenaan direka menggunakan platform generasi baharu syarikat itu dengan penekanan terhadap ruang kabin lebih praktikal, kecekapan tenaga serta sistem sambungan digital pintar untuk kegunaan harian.

Walaupun bersaiz kompak, B03X masih menawarkan karakter SUV menerusi posisi pemanduan tinggi dan ruang kabin luas, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kegunaan keluarga mahupun perjalanan harian di bandar.

Antara ciri utama model ini termasuk sistem operasi Leap OS 4.0 yang menyokong integrasi telefon pintar dan kawalan kenderaan secara jarak jauh.

Dari aspek prestasi, B03X dipacu motor elektrik pacuan roda hadapan yang menghasilkan 197hp dan 200Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 8.6 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 160km/j.

Leapmotor turut menawarkan dua pilihan bateri LFP berketumpatan tinggi bersama teknologi CTC2.0 Plus (Cell-to-Chassis) yang membantu meningkatkan kecekapan ruang dan penggunaan tenaga.

Spesifikasi Leapmotor B03X

  • Panjang: 4,270mm
  • Lebar: 1,810mm
  • Tinggi: 1,635mm
  • Jarak roda: 2,605mm
  • Motor elektrik hadapan tunggal
  • Kuasa maksimum: 197hp (145kW)
  • Tork maksimum: 200Nm
  • Pacuan roda hadapan (FWD)
  • Kelajuan maksimum: 160km/j
  • Pecutan 0-100km/j: 8.6 saat
  • Pilihan bateri 39.8kWh
  • Jarak gerak sehingga 292km (WLTP)
  • Pilihan bateri 53.0kWh
  • Jarak gerak sehingga 382km (WLTP)
  • Pengecasan pantas DC 30%-80% sekitar 16 minit
  • Sistem operasi Leap OS 4.0
  • Dua varian ditawarkan: LIFE dan DESIGN

Selain ruang dalaman minimalis yang lebih mesra pengguna, B03X turut dilengkapi ruang simpanan pelbagai guna dan lantai kargo rata bagi meningkatkan fleksibiliti penggunaan.

Leapmotor menyifatkan B03X sebagai model global yang dibangunkan mengikut piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa, selain bakal dipasarkan di beberapa rantau utama dunia dalam usaha memperluas jenama itu dalam segmen EV kompak.

Google ads
Back to top button