
FERRARI + SULTAN BRUNEI + PININFARINA =456GT VENICE
Ferrari bukanlah pembuat kereta yang sering dikaitkan dengan rekaan wagon atau touring. Walaupun firma Itali itu telah mengeluarkan banyak supercar ikonik dan kini telah bergerak ke dunia SUV, station wagon atau touring bukanlah produk utama daripada Ferrari.
Walau bagaimanapun, terdapat sebuah wagon yang sememangnya memakai lencana Ferrari pada hud depan. Dinamakan sebagai Ferrari 456GT Venice, ia adalah sebuah jentera Ferarri yang sangat jarang diketengahkan dan jarang dijumpai.
Varian 456GT Venice adalah berasal daripada model Ferrari 456 yang sangat jarang ditemui, yang dibina khas oleh firma reka bentuk Itali legenda Pininfarina untuk Putera Jefri Bolkiah dari Brunei. Reka bentuk kereta itu disesuaikan dengan sambungan bumbung dan tambahan dua pintu belakang.
456 asal sudah mempunyai susun atur tempat duduk 2+2, tetapi pengubahsuaian cesi dan badan yang dilakukan di Venice menjadikannya lebih mudah untuk mengakses tempat duduk belakang bagi perjalanan dengan selesa.

Sistem trenkuasa dikekalkan iaitu menggunakan enjin V12 5.5 liter aspirasi normal yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Firma Pininfarina telah membina tujuh contoh model Venice, tetapi hanya 6 unit sahaja yang dibeli dengan kos sekitar $1.5 juta setiap satu.
Terdapat khabar angin yang ketujuh mungkin telah digunakan sebagai model prototaip semasa homologasi kereta itu dijalankan namun sehingga hari ini model ke 7 masih lagi gagal dikesan. Ferrari Venice tidak pernah dilihat di khalayak ramai atau muncul di pameran automotif dengan menjadikan imej kereta ini agak sukar ditemui.
Hanya 1 unit sahaja yang pernah dijual secara lelongan melalui RM Sotheby’s, dan dipercayai ia merupakan unit nombor 6 yang dihasilkan dengan menggunakan warna Dark Blue (Blu Swaters). Dalam Acara yang beralngsung di Paris pada 7 Februari 2024 ini, unit ini berjaya terjual dengan harga RM 1.8 juta

Apa yang menarik ialah ketika dilelong, jarak perbatuan yang dipandu tidak melebihi 1000km
Ferrari 456 ialah grand tourer (GT) berkuasa V12 yang membuat penampilan sulungnya pada tahun 1992. Ia merupakan pengganti kepada model 412, sebuah lagi GT empat tempat duduk yang telah dihentikan pengeluaran pada tahun 1989.
Ferrari 456 pada mulanya boleh didapati dalam satu varian GT sahaja. Walaubagaimanapun pada tahun 1996, satu lagi varian GTA telah ditambah. Reka bentuk 456 telah dicipta oleh firma Itali lagenda Pininfarina, iaitu firma rekaan yang sama terhadap hampir semua rekaan ikonik Ferrari.
Kuasa datang daripada enjin V12 5500cc yang menghasilkan 436 hp dan 550Nm tork dipasangkan dengan transmisi manual enam kelajuan dalam GT atau dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan (dibangunkan dengan kerjasama firma British FF) bagi varian GTA.

Pecutan 0-100 dibuat dalam masa 5.2 saat sahaja dengan semua kuasa dihantar ke roda belakang. Namun apa yang menarik ialah, Venice menawarkan praktikaliti yang tiada pada kebanyakan model Ferrari lain iaitu ruang kargo yang besar dan rekaan 4 pintu
Nama “456” berasal daripada fakta bahawa setiap silinder enjin menyesarkan 456 sentimeter padu. Kelajuan tertinggi 456 pada 309km/h ketika dilancarkan pada tahun 1992 sebagai kereta pengeluaran kedua terpantas di belakang Porsche 959. Kuasa enjin 456 menjadikannya kereta jalan pengeluaran paling berkuasa yang dibina oleh Ferrari pada ketika itu.
Beberapa versi model yang berbeza telah dilancarkan selama ini, termasuk 456M , yang tiba pada tahun 1998, dan 456 Bicolore Scaglietti, yang membuat penampilan sulungnya pada tahun 2002. Bicolore Scaglietti ialah versi dengan kemasan cat dua tona serta beberapa peningkatan prestasi dan reka bentuk. Ia pertama kali ditauliahkan oleh pemandu Formula 1 Michael Schumacher, dan kadangkala dirujuk sebagai “Edisi Schumacher”.

Pada Pameran Motor Geneva 1998, Ferrari melancarkan versi 456 yang disemak semula, yang digelar 456M. M bermaksud “Modificata”, bahasa Itali untuk “Diubah suai”. Beberapa aspek kereta telah diubah untuk meningkatkan prestasi dan penampilan.
Kuasa enjin kekal sama tapi susunan pemasaan palam pencucuh dalam silinder enjin telah diubah untuk menjadikannya beroperasi dengan lebih lancar. Sistem suspensi dan brek kedua-duanya menerima peningkatan.
Perongga kemasukan udara asal pada hud 456 telah ditanggalkan, manakala saluran brek digantikan dengan saluran udara yang lebih besar di hadapan kereta. Untuk rekaan belakang diffuser di bawah kereta tetap telah ditambah, dan bampar dan perumah plat lesen telah direka semula.


