
GABUNGAN LUAR BIASA – ENJIN S1000RR DAN FIAT 600
Enjin superbike memang direka khusus untuk kegunaan superbike tapi macam mana jika ia digandingkan dengan sesuatu yang berbeza? Pelumba hillclimb Eropah ini ada jawapannya.

Rasanya semua kaki motor kenal dengan BMW S1000RR. Sebuah superbike canggih dari BMW yang sudah agak ketinggalan zaman dengan munculnya M1000RR. Abang Japar pernah pakai dulu tapi dah jual sebab ada sorang budak BBNU pernah salah anggap S1000RR Abang Japar sebagai keluaran Benelli. Ada ke patut.
Okey walau pun dah dianggap agak ketinggalan zaman, seorang pelumba bernama Jovan Perunovic telah memanafaatkan sepenuhnya enjin S1000RR beliau untuk projek kereta lumba beliau. Bukan Subaru WRX, bukan Lancer Evo tapi sebuah Fiat 600!
Kalau orang lain beli S1000RR dan mengubahsuainya untuk meningkatkan kuasa, Perunovic bertindak diluar kotak dengan mengeluarkan terus enjin tersebut dari casis superbike dan menyumbatnya ke dalam ruang enjin Fiat 600 lama.
Fiat memang jenama popular tapi Fiat 600 lama ini hanya mempunyai enjin yang mempunyai kuasa maksima 22 bhp sahaja. Ya adik-adik, 22 bhp. Memang sayur la kalau berlumba naik bukit. Kuasanya ditambah kepada 26 bhp untuk model 1968 dan masih lagi jauh dari mencukupi untuk menakluk litar naik bukit Croatia yang menjadi sasaran Perunovic.
Disinilah enjin superbike BMW menjadi penyelamat. Perunovic membuang terus enjin 633cc sebaris empat Fiat lama tersebut dan digantikan dengan enjin kapasiti 1 liter daripada S1000RR. Kini secara automatik beliau mempunyai sejumlah 212 bhp kuasa maksima dari Bavaria yang bersedia untuk dilepaskan.

Dengan berat keseluruhan yang hanya mencecah 580 kilogram, Fiat 600 itu kini mempunyai nisbah kuasa kepada berat 366bhp per tan. Untuk rekod nisbah kuasa kepada berat GTR ialah 368bhp per tan! Kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear sequential lengkap dengan quickshifter!
Sudah tentu peningkatan kuasa memerlukan cengkaman yang lebih jadi treknya dilebarkan sehingga dah nampak macam Lancia Delta HF Integrale Group A. Ia kini dilengkapi dengan bodykit, arca roda dan GT wing yang besar gedabak.
Macam mana dengan pencapaian sewaktu mendaki bukit? Boleh tahan kerana kereta ini mampu memecut sehingga kelajuan 180 kmj! Bukan S1000RR lagi laju ke? Memang la tapi itu menggunakan casis superbike moden dan Fiat 600 ini menggunakan casis warga emas. Sendi pun dah tak berapa kuat dik.






