" "
Buletin

M-SPORT FORD AKAN MEMBARISKAN DUA PEMANDU MUDA UNTUK SAINGAN WRC 2024

Setelah dua pasukan utama mengesahkan senarai barisan pemandu bagi menghadapi saingan FIA World Rally Championship (WRC) 2024, akhirnya pasukan M-Sport Ford telah mengesahkan bahawa mereka hanya akan membariskan dua pemandu muda sahaja bagi memandu jentera Ford Puma Rally1 mereka bagi menggantikan Ott Tanak yang kembali semula ke pasukan Hyundai. Manakala seorang lagi pemandu Pierre-Louis Loubet pula dilepaskan dan masih belum lagi perancangan beliau untuk musim hadapan.

Pemandu muda, Adrien Fourmaux yang musim ini memandu bersama pasukan M-Sport Ford beraksi dalam kelas WRC2 dengan memandu Ford Fiesta Rally2. Pemandu muda dari Perancis tersebut turut beraksi dalam British Rally Championship dan beraksi cemerlang untuk muncul juara.

Sungguh pun demikian, Adrien Fourmaux sebenarnya pernah beraksi dalam kelas utama bersama pasukan M-Sport Ford memandu jentera Ford Puma Rally1 pada tahun 2022. Menariknya, beliau sempat membuat kemunculan semula pada penghujung musim 2023 dengan beraksi bersama Ford Puma Rally1 sewaktu FORUM8 Rally Japan. Kiranya beliau dapat naik pangkatlah.

Yang pasti Adrien Fourmaux telah menjalankan tugasnya dengan cukup baik untuk membantu proses pembangunan berterusan bagi jentera Ford Fiesta Rally2 sepanjang musim ini. Dalam saingan WRC2, beliau juga sempat mendapatkan podium di Finland.

Manakala seorang lagi pemandu muda adalah Grégoire Munster. Pemandu berusia 25 tahun ini berasal dari Belgium tetapi dalam masa yang sama turut memegang kerakyatan Luxembourg (emaknya berasal dari sana) atas faktor sokongan kewangan yang diperolehi daripada Automobile Federation of Luxembourg.

Untuk rekod, Grégoire Munster juga beraksi bersama pasukan M-Sport Ford dalam kelas WRC2 dengan memandu Ford Fiesta Rally2 musim ini. Cuma tuah menyebelahi beliau untuk berpeluang memandu jentera Ford Puma Rally1 dua kali di Chile dan juga Central Europe Rally musim ini.

Penglibatan Grégoire Munster bersama jentera Ford Puma Rally1 banyak disumbangkan oleh rakan baiknya, Jourdan Serderidis yang turut memandu jentera yang sama sebelum ini. Sewaktu perlumbaan di Chile, beliau berjaya menduduki tempat keenam keseluruhan dan ketujuh keseluruhan sewaktu di Central European Rally.

Walau pun terdapat sedikit kecaman daripada peminat tentang barisan pemandu untuk pasukan M-Sport Ford ini yang dilihat kurang berpengalaman, namun mungkin ini adalah yang termampu dari segi bajet untuk sebuah pasukan yang kecil berbanding dua lagi pasukan yang mendapat sokongan padu secara langsung daripada pengeluar.

BACA : APA NASIB PASUKAN M-SPORT FORD MUSIM 2024 NANTI?

BACA : PEMILIK M-SPORT FORD AKHIRNYA BERPELUANG MEMANDU FORD PUMA RALLY1

Google ads

B K

Back to top button