BMW MOTORRAD MALAYSIA PERKENALKAN BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 Bagger & BMW R nineT Urban G/S
BMW Motorrad Malaysia dijangka memperkenalkan empat motosikal premium pada acara BMW Motorrad Nightfuel, di Bayan Lepas, Pulau Pinang malam ini.
Model-model tersebut ialah BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 Bagger dan BMW R nineT Urban G/S.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun BMW Motorrad menyumbang jualan sebanyak 1,000 unit setahun.
BMW S 1000 RR
Sejak BMW Motorrad melancarkan S 1000 RR pada tahun 2009, jentera supersports 4 silinder pertama dihasilkan oleh BMW itu telah memberi kesan besar ke atas pasaran segmen ini.
Pembangunan yang konsisten dan berterusan memastikan RR sentiasa berada di hadapan dalam kalangan jentera superbike yang boleh ditunggang di jalan raya biasa.
Untuk model 2017, enjin 4 silinder sebaris 999cc telah ditala untuk memenuhi keperluan piawaian emisi EU4. Kuasa masih 199hp dengan tork maksimum 113Nm.
Mode tunggangan seperti “Rain”, “Sport”, “Race” serta Race ABS dan Dynamic Traction Control hadir sebagai ciri standard. Selain ciri Race ABS, penambahan baru termasuklah Dynamic Traction Control (DTC).
BMW S 1000 RR hadir dengan tempat duduk pembonceng. Ia kini boleh didapati dalam skim warna kelabu/hitam dan merah/putih untuk gaya yang dinamik.
BMW R 1200 GS
BMW GS menampilkan kombinasi ideal di antara aspek touring dengan kesesuaian tunggangan dalam jarak jauh, prestasi dinamik dan kemampuan mengharung laluan off-road selama lebih 35 tahun.
Menjadi motosikal enduro paling popular di dunia, BMW R 1200 GS telah dioptimumkan dalam banyak segi. Untuk pasaran Malaysia, jentera Rallye ini telah diubah suai dengan tayar laluan biasa serta tempat duduk standard yang selesa bagi memastikan kegunaan harian yang lebih mudah.
Ia dikuasakan oleh enjin boxer yang memenuhi piawaian terkini EU4 dengan output 125hp dan tork maksimum 125Nm.
BMW K 1600 Bagger.
Jentera ini merupakan interpretasi BMW Motorrad terhadap Grand American Touring. BMW K 1600 B dijana oleh enjin enam silinder berkuasa 160hp.
Ia kini tampil dengan reka bentuk linear bersama bahagian belakang yang direka semula sepenuhnya.
Ciri bantuan mengundur yang baharu ditawarkan untuk memberi lebih keselesaan. Manakala ciri Shift Assistant Pro membolehkan penukaran gear dibuat tanpa perlu menggunakan klac.
Tampil dengan warna hitam sepenuhnya, BMW K 1600 B menyerlahkan lagi motosikal bagger custom eksklusif yang sememangnya popular di Amerika Syarikat.
BMW R nineT Urban G/S
BMW R nineT Urban G/S baharu sedikit berbeza dari segi rekaan tetapi ia memiliki karekter klasik yang sama.
Motosikal klasik gaya enduro BMW itu meneruskan DNA model pertama BMW R 80 G/S tahun 1980. Ia dijana oleh enjin boxer dengan sistem penyejukan udara/minyak berkapasiti 1,170cc.
Berupaya menghasilkan kuasa 110hp, ia dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan. Model ini direka untuk memenuhi piawaian emisi EU4. Sistem ekzos besi tahan karat dengan paip di sebelah kiri menyerlahkan gayaan klasik.
Rim rim aloi tuang yang ringan di hadapan bersaiz 19 bersama tayar 120/70 ZR 19. Ia nyata sepadan dengan rim belakang bersaiz 17 inci bersama tayar 170/60 ZR 17.
Model BMW boxer ini boleh ditempah dengan tayar off-road dan rim lidi yang menyerlahkan lagi gaya klasiknya.
Harga runcit (tanpa insurans dan termasuk GST) ialah:
BMW S1000 RR – RM106,900
BMW R1200 G/S – RM105,900
BMW K1600 B – RM159,900
BMW R nineT GS – RM87,900