
GAC GS3 RASMI DILANCARKAN. ENJIN 1.5L, 2 VARIAN, BERMULA RM88,800
Pencabar terbaharu dalam segmen SUV kompak yang cukup popular kini telah tiba di Malaysia menerusi GAC GS3. SUV yang diimport sepenuhnya itu menandakan bermulanya pengenalan jenama GAC di Malaysia oleh WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA).
WTCA menjadi pengedar rasmi kenderaan GAC di Malaysia selepas ia menandatangani perjanjian pengedaran di antara WCTA dan GAC Motor International Limited (GAC International) pada 30 November 2021.
Ia kini bekerjasama rapat dengan GAC International untuk memulakan program pemasangan tempatan GS3 dan model-model baharu GAC pada masa depan.
GS3 merupakan sebuah model global yang dijual di 25 buah negara. Malaysia menjadi negara pertama yang melancarkan model pemanduan sebelah kanan (RHD).

“WCTA sudahpun menyediakan sebuah bilik pameran khas buat GAC di tengah bandar Kuala Lumpur dan merancang untuk mengembangkan jenama ini di luar kawasan Lembah Klang tidak lama lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd., syarikat induk WTCA, Tan Keng Meng.
GAC GS3 pantas menarik perhatian menerusi gayaan bahagian hadapan yang menampilkan bahasa rekaan terkini GAC iaitu Flying Dynamic Wing 3.0. Ia menunjukkan reka bentuk gril hadapan bersama kemasan krom yang disambungkan dengan lampu utama jenis projektor.
Kemasan pada bahagian bawah bampar pula disambungkan dengan lampu kabus. Kedua-dua elemen visual itu memberikan penampilan yang lebar dan dinamik kepada jentera ini.
Tiang D dihitamkan untuk memberikan rekaan bumbung seperti terapung dan siluet GS3 yang sporty. Garis bumbung GS3 yang mendatar kemudian diteruskan ke spoiler belakang yang disepadukan bersama lampu brek ketiga.

Rekaan itu disempurnakan lagi dengan sepasang lampu belakang LED yang nipis pada kontur badan SUV ini.
Susun atur ruang kabin GS3 tampil dengan rekaan papan pemuka horizontal terapung yang elegan. Skrin sentuh infohibur bersaiz 8 inci diletakkan di tengah-tengah bersama suis kawalan suhu pada bahagian bawah.
Tampil sebagai antara kabin paling luas dalam kelas SUV kompak dengan 1,500mm, GS3 menawarkan ruang dalaman yang luas.
Tempat duduk belakang direka untuk memberi sokongan optimum kepada peha. Bukan itu sahaja, terdapat tidak kurang daripada 25 tempat penyimpanan barang di dalam kabin GS3. Ruang kargonya seluas 356 liter dan boleh ditambah dengan melipat tempat duduk belakang berkonfigurasi 60:40.

GS3 dilengkapi sehingga 6 beg udara, Pengesan Titik Buta, Kawalan Kestabilan Elektronik, Isyarat Berhenti Kecemasan, Kamera Undur, Amaran Tali Pinggang Keledar untuk semua penumpang, cagak ISOFIX bagi kerusi kanak-kanak serta Sistem Kawalan Suhu bersama penapis PM2.5 untuk udara ruang kabin yang lebih segar.
GAC GS3 dijana oleh enjin 1.5 liter dengan Dual-CVVT berkuasa 114PS dan tork 150Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear Aisin enam kelajuan bersama kawalan adaptif pintar untuk memberikan penjimatan bahan api 6.9 liter bagi setiap 100km atau 14.5km/l berdasarkan kepada gabungan kitaran NEDC.
GS3 ditawarkan dalam dua varian bersama empat pilihan warna menarik iaitu kelabu, putih, perak dan merah. Harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM88,800 untuk varian Standard dan RM96,800 bagi varian Premium. WCTA sedia menerima tempahan GS3 bermula hari ini.
Pandu uji dan tinjauan secara dekat boleh dibuat di bilik pameran pertama GAC di Lot 72, Jalan Sultan Azlan Shah, 51200 Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.gacmotor.com.my dan ikuti Facebook GAC Motor Malaysia di https://www.facebook.com/GAC-Motor-Malaysia-104304102124544
GALERI