
WTCA JALIN KERJASAMA DENGAN GAC – PROJEK CKD MODEL GS3 SERBA BAHARU
WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) hari ini mengumumkan projek pemasangan tempatan (CKD) bersama Guangzhou Automobile Group (GAC).
WTCA bakal melabur melebihi RM60 juta, melibatkan pembuatan model GS3 serba baharu bagi mengembangkan lagi kehadirannya di pasaran tempatan.
Untuk rekod, sebahagian daripada pelaburan itu digunakan khusus untuk peralatan selain, meningkatkan kemudahan Tan Chong di Segambut bagi memenuhi keperluan pemasangan CKD baharu dan piawaian GAC.

Selain itu, WTCA juga menggunakan pelaburan ini untuk membina lebih 70 bilik pameran di seluruh negara termasuk bilik pameran perdana di Seksyen 13, Petaling Jaya, yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2023.
Kedua-dua syarikat yakin dalam tempoh lima tahun mendatang, jenama itu bakal memperkenalkan beberapa model lain seperti SUV, sedan serta MPV.
Kerjasama antara WTCA dan GAC merupakan satu pencapaian penting, sekali gus menjadikan projek CKD ini sebagai pemasangan tempatan pertama di ASEAN.
Perkembangan berkaitan, WTCA menyerahkan 25 unit GAC GS3 SUV kepada Mayflower Car Rental, di samping memperkenalkan program All-New Adventure GAC GS3 iaitu program pajakan untuk memudahkan pengguna merasai sendiri pengalaman pemanduan GAC GS3.
CKD GAC GS3 Generasi Baharu
Dari segi saiz, model ini mempunyai dimensi 4,358mm (panjang), 1,825mm (lebar), 1,685mm (tinggi), jarak roda pada 2,560mm manakala tangki minyak berkapasiti 50 liter.
GS3 didatangkan dengan lampu hadapan jenis halogen, cermin sisi dengan fungsi power adjustable (standard), sementara varian premium menerima fungsi power adjustable serta foldable.
Menjengah ke kabin, ia mendapat sistem infotainmen bersaiz 8-inci berwarna penuh dengan ketersambungan Apple CarPlay, Bluetooth, skrin LCD 3.5-inci dan port pengecasan USB.
Model CKD GAC GS3 dipacu oleh enjin 1.5 Turbo Direct injection generasi ketiga, menghasilkan tork 275Nm pada 1,400rpm-4,500rpm dan dipadankan bersama transmisi WDCT 7-kelajuan.
Untuk makluman model generasi seterusnya bakal memuatkan sistem bantuan pemandu termaju tahap 2, menjadikannya model paling dinantikan di pasaran tempatan.
- BACA: GAC GS3 RASMI DILANCARKAN. ENJIN 1.5L, 2 VARIAN, BERMULA RM88,800
- BACA: GAC-HONDA DEDAH GAMBAR RASMI KEMBAR CR-V, BREEZE GENERASI KEDUA. 1.5L TURBO, BERMULA RM118K
- BACA: GAC M8 – GENERASI KEDUA MPV MEWAH DENGAN REKAAN GRIL BESAR ALA LEXUS
- BACA: GAC SPACE CONCEPT – MPV DENGAN GRIL BBQ PALING BESAR




