
GEELY GALAXY TT DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK 725KM, PENGECASAN PANTAS 6C, HARGA MULA RM78K
Geely memperkenalkan sedan elektrik baharu Galaxy TT di pasaran China, sekali gus memperkukuhkan penawaran jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik bersaiz sederhana hingga besar.
Model yang mula dibuka untuk tempahan bulan lalu itu ditawarkan dalam lima varian dengan harga pengenalan antara 129,900 yuan hingga 185,900 yuan (sekitar RM78,904 hingga RM112,920).
Galaxy TT dibangunkan menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang menyokong pengecasan pantas 6C, membolehkan tenaga bateri dipulihkan dalam tempoh yang lebih singkat.

Model ini turut menggunakan sistem pacuan elektrik 16-dalam-1 yang dibangunkan Geely bersama bateri litium besi fosfat (LFP) keluaran CATL.
Pelanggan boleh memilih antara versi pacuan roda belakang bermotor tunggal atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik.
Bagi varian motor tunggal, kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 245kW (329hp) dengan tork 320Nm. Model ini menawarkan jarak perjalanan sehingga 640 kilometer atau 725 kilometer mengikut standard CLTC, bergantung kepada spesifikasi bateri yang dipilih.
Pecutan 0 hingga 100 km/j pula dicatatkan dalam masa 7.2 saat dan 6.5 saat.

Varian paling berprestasi tinggi menggunakan konfigurasi dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 425kW (570hp).
Dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 75.2kWh, model ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.8 saat serta menawarkan jarak perjalanan sehingga 650 kilometer mengikut standard CLTC.
Dari aspek pengendalian, Galaxy TT dilengkapi suspensi hadapan jenis double wishbone aluminium sepenuhnya serta suspensi belakang lima pautan yang diperkukuh.
Sistem peredaman adaptif FSD disediakan sebagai standard, manakala varian lebih tinggi turut menerima sistem casis pintar CCD-AI yang digelar “Magic Carpet” untuk keselesaan pemanduan yang lebih baik.

Rekaan luaran menampilkan gril udara aktif, lampu utama berinspirasikan potongan berlian serta spoiler belakang aktif yang mampu menghasilkan daya tekan ke bawah sehingga 508 Newton bagi meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Dari segi saiz, Galaxy TT mempunyai panjang 4,999 milimeter, lebar 1,919 milimeter dan tinggi 1,479 milimeter dengan jarak roda sepanjang 2,920 milimeter.
Bahagian kabin pula menampilkan konsep moden berorientasikan teknologi. Ia dilengkapi skrin sentuh utama bersaiz 15.4-inci beresolusi 2.5K, kluster instrumen digital 10.2-inci dan paparan realiti terimbuh (AR-HUD) berukuran 25.6-inci.
Sistem infotainmen dikendalikan oleh cip Longying 6P berasaskan teknologi 4 nanometer yang menjalankan perisian Flyme Auto 2.0.

Ruang simpanan juga menjadi keutamaan dengan 37 kompartmen disediakan, termasuk ruang simpanan hadapan berkapasiti 110 liter serta ruang kargo belakang keseluruhan sebanyak 528 liter.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, Galaxy TT ditawarkan dengan dua tahap sistem pemanduan pintar.
Versi H5 menggunakan cip Horizon J6M dengan kuasa pemprosesan 128 TOPS, manakala versi H7 menerima cip Nvidia Thor-U yang menawarkan sehingga 700 TOPS.
Kedua-dua sistem dilengkapi 11 kamera, tiga radar gelombang milimeter dan sensor LiDAR, selain menyokong fungsi bantuan pemanduan lanjutan seperti navigasi automatik dalam bandar dan lebuh raya (NOA), sistem navigasi dari pintu ke pintu (D2D) serta parkir automatik.


