Buletin

GO AUTO SERIUS BANGUNKAN KOMPONEN ELEKTRIK – BAKAL LANCAR BAS ELEKTRIK HUJUNG TAHUN INI

GO Auto kini berada atas landasan tepat dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan komponen kenderaan elektrik (EV) serantau apabila bakal memperkenalkan bas elektrik dalam masa terdekat.

Pengarah Eksekutif Go Auto, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, semua prototaip EV kini sudah hampir siap sepenuhnya.

Tambah Azli lagi, Go Auto diberikan kepercayaan untuk membekalkan bas elektrik yang melibatkan kos pelaburan bernilai RM30 juta daripada kerajaan negeri Melaka. Unit terawal bas elektrik dijangka diserahkan pada hujung tahun ini.

Pada masa sama, Go Auto turut dalam perbincangan terakhir untuk beberapa projek baharu lagi bagi membekalkan bas elektrik lain.

Selaras Dasar Automotif Negara (NAP) 2014, Malaysia menetapkan sasaran satu juta jumlah jualan industri (TIV) menjelang 2020, dengan 10 peratus ialah EV.

Pembabitan Go Auto dalam membangunkan EV dan komponen berteknologi tinggi adalah sebahagian usaha menjayakan NAP 2014.

Ini secara tidak langsung meletakkan Go Auto sebagai antara syarikat peneraju utama yang komited mahu membangunkan ekosistem EV secara serius.

“Kami berbangga apabila diberikan kepercayaan dan komited mahu membangunkan komponen EV untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.  

“Bagi memastikan penghasilan komponen EV berjalan lancar, kami menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar EV seperti pembuat bateri Microvast dari Amerika Syarikat dan pengeluar bas Higer,” kata Azli.

Google ads
Back to top button