" "
Buletin

VAN ELEKTRIK GO AUTO-HIGER ACE E1 DIPERKENAL. 15 TEMPAT DUDUK, 300KM SEKALI CAJ, BERMULA RM269K

Pengedar kenderaan jenama Higer di Malaysia, GVT Sdn. Bhd. (Syarikat kumpulan Go Auto) memperkenalkan van elektrik komersial terbaharunya, Go Auto-Higer Ace E1 ke pasaran tempatan.

Go Auto-Higer Ace E1 ialah van komersial elektrik pertama Higer. Ia hadir dengan spesifikasi 5.4-meter 70kWh dalam dua pilihan iaitu van penumpang dan van kargo. Unit pertama Go Auto-Higer Ace E1 sudah diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada penghujung tahun lalu.

“Kami akan menyerahkan dua unit van elektrik ini kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan empat lagi unit kepada TNB. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi serta melanjutkan insentif pengecualian cukai ke atas kenderaan elektrik di Malaysia sehingga 2027 manakala CBU (CKD) dan 2025 (CBU). 

“Ini bakal merancakkan lagi segmen kenderaan elektrik di Malaysia yang mahu kembali bangkit selepas pandemik Covid-19. Sejajar dengan maklum balas serta permintaan yang tinggi daripada pelanggan, GVT akan menawarkan versi automatik pada penghujung tahun ini. 

“Jadi, kami minta bakal pembeli untuk terus kekal mengikuti perkembangan semasa kami,” kata Pengarah Eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar. 

Van itu hadir dengan 15 tempat duduk dan mampu bergerak sejauh 300km dengan sekali caj penuh yang  cuma mengambil masa anggaran 75 minit jika menggunakan pengecasan pantas 60kW. 

Go Auto-Higer Ace E1 menggunakan bateri jenis Lithium ion dari CATL. CATL merupakan antara syarikat pembuat bateri terbesar di dunia dan mempunyai pasukan servis selepas jualan di Malaysia. Ini merupakan satu faktor penting dalam pemilihan komponen utama oleh pihak Higer.

Jentera berkenaan menggunakan charging inlet CCS2 DC dan Type-2 AC yang merupakan standard antarabangsa. Dari segi dimensi, Go Auto-Higer Ace E1 adalah 1,880mm lebar, 2,335mm tinggi, 5,380mm panjang dengan jarak roda 3,110mm. 

Ciri-ciri yang ada termasuklah rim aloi 16 inci dengan tayar bersaiz 215/75, LCD TV 8-inci, paparan DVD (Android Player), kamera undur dan banyak lagi.

Go Auto-Higer Ace E1 ditawarkan pada harga bermula RM268,888 seunit. Setiap pembelian didatangkan dengan pengecas mudah alih berkapasiti kapasiti 7kW secara percuma.

Ia juga didatangkan dengan jaminan selama 5 tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu), selain waranti bateri 5 tahun atau 200,000km (mana-mana tiba dahulu). 

GVT kini mempunyai 88 rangkaian servis selepas jualan bagi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Selaku pengedar kenderaan komersial di bawah syarikat kumpulan Go Auto, GVT juga memasarkan bas elektrik dan diesel jenama Higer serta Yutong. 

Sehingga kini, GVT telah membekal bas elektrik kepada TNB, selain bas diesel kepada beberapa agensi kerajaan dan universiti seperti MINDEF, MARA, RELA dan UTHM.

Maklumat lanjut mengenai Go Auto-Higer Ace E1, sila layari laman web www.goautovan.my atau ikuti sosial media di Go Auto Van.

GALERI

Google ads
Back to top button