Buletin

LELONGAN KERETA PALING MENARIK TAHUN INI – SEMUA ORI DAN RARE

Biasanya jika badan-badan kerajaan membuat lelongan awam kereta-kereta dalam simpanan mereka keadaannya memang menyedihkan. Kalau kereta jabatan tu memang dah dilenjan sampai tercabut piston jawabnya. Kalau melibatkan kereta-kereta yang disita pula biasanya yang sudah terperam bertahun, tapi kalau yang dalam keadaan baik pula harganya mengalahkan harga dalam ruang pameran Bugatti. Dahlah tak ada perkhidmatan lepas jualan.

Tapi itu cerita lelongan biasa di Malaysia, lain pula halnya dengan lelongan yang dibuat oleh pihak US Marshals di Texas, AS baru-baru ini. Ia melibatkan kereta-kereta eksotik yang memang rare, ori, limited dan macam-macam lagi.

Ia merupakan koleksi sejumlah besar kereta mewah yang dirampas dari dua orang doktor yang terlibat dengan kegiatan jenayah penipuan perkhidmatan kesihatan. Dr. John Couch dan Dr. Shoo-Loo Ruan yang telah ditangkap pada 2015 mempunyai koleksi kereta mewah seperti BMW M6 Coupe 1987 sehinggalah ke Spyker C8 Laviolette 2009.

Kereta yang paling menarik dalam senarai lelongan ini tentulah Shelby Series 1 Covertible yang cuma mempunyai 1,117 perbatuan dengan lelongan dibuka serendah USD75,000.

Satu lagi model rare ialah supercar Saleen S7 2006 yang cuma mencatatkan 1,153 batu perjalanan. Kombinasi eksklusiviti yang ada padanya dan perbatuan yang cukup rendah membuatkan harganya dibuka pada USD250,000!

Tidak ada koleksi kereta yang akan lengkap tanpa kehadiran model-model supercar dari Itali. Turut berada dalam senarai lelongan ialah Lamborghini Diablo VT 1994, Ferrari 599 GTB Fiorano dan Ferrari 430 Spider. Pembeli juga boleh mencuba nasib untuk membida Lamborghini Murcielago Convertible dan Maserati GranTurismo 2013.

Jika senarai di atas tidak menarik minat anda itu mungkin akibat faktor penuaan. Khusus mereka di ambang penuaan ada juga sebuah Bentley Arnage 2005 dan dua buah Bentley Continental versi GT dan GTC. Terdapat juga sejumlah Porsche 911 coupe dan cabriolet selain sebuah Mercedes SLS AMG.

Pelengkap kepada koleksi ini ialah Chevrolet Corvette 1969, Audi R8 Spyder, Aston Martin DB9 Volante dan sebuah Mercedes-McLaren SLR.

Tuan punya asal kereta-kereta ini keduanya telah dikenakan hukuman penjara 21 tahun dan semua duit hasil jualan akan digunakan untuk pemulihan pesakit dan gantirugi pihak terlibat.

 

Google ads
Back to top button