
GOLF GTI EDITION 50 DILANCARKAN – JANA 245PS, HARGA BERMULA RM267K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan model eksklusif Golf GTI Edition 50 yang ditawarkan pada harga bermula RM267,990.
GTI Edition 50 dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 Golf, dilengkapi pelbagai aksesori, merangkumi kit badan Oettinger, rim baharu, perumah cermin sisi berwarna hitam, emblem ekslusif Edition 50 dan kemasan sisi sporty, diinspirasikan daripada rekaan honeycomb signatur model GTI.
Penampilan bahagian luaran GTI Edition 50 disempurnakan lagi dengan tint “Edition 50 VW” dan emblem “50” pada tiang B.
Kit badan Oettinger terdiri daripada spoiler hadapan, spoiler belakang berwarna hitam dan peresap udara.

Selain itu, ia diserlahkan lagi melalui rim aloi ringan ‘Pretoria’ bersaiz 18-inci bersama kemasan hitam berkilat, penutup hub rim “GTI” Dynamic dan penutup injap aluminium VW Design.
GTI Edition 50 didatangkan dalam dua pilihan warna:
- Oryx White (putih)
- Moonstone Grey (kelabu)
Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi sistem infohibur Discovery Media bersaiz 10-inci bersama ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar serta kluster instrumen digital berukuran 10.25-inci.
Kelengkapan lain termasuklah emblem “50” pada bahagian tengah stereng multi-fungsi GTI yang sporty, plat sisi aluminium “Edition 50”, karpet hadapan “Edition 50”, sistem audio premium Harman Kardon berkuasa 480watt dengan 10-unit pembesar suara.

Secara mekanikal, GTI Edition 50 dijana oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan klac basah 7-kelajuan berkuasa 245PS dan tork 370Nm.
Aspek keselamatan disokong oleh teknologi IQ.DRIVE Volkswagen, di samping sistem bantuan pemandu termaju seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist serta Paparan Head-Up.
Seperti dinyatakan di atas, GTI Edition 50 boleh dimiliki pada harga bermula RM267,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) yang memberikan pemilik dengan penyelenggaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.
GTI Edition 50 akan dipamerkan dalam acara Golf Fan Fest yang diadakan pada 24 Ogos 2024 bertempat di North Paddock Litar Antarabangsa Sepang.
Ia juga boleh dilihat secara dekat di pengedar-pengedar Volkswagen bermula 17 Ogos 2024.
GALERI:






