
GWM HAVAL H6 HYBRID, 240HP & 530NM TORK. 18KM/LITER
Semasa sesi pandu uji GWM Tank 300, GWM juga ada menayangkan satu unit model Haval H6 Hibrid semasa akhir sesi pandu uji. Walaubagaimanapun sesi pandu uji bersama model ini adalah terhad dengan pemanduan sekitar 1 kilometer sahaja mengelilingi trek
Namun pada masa yang sama trek berkenaan membenarkan kami menguji pecutan 0-100km/jam dan juga ujian merentasi anak sungai. Kami ringkaskan pandu uji ringkas Haval H6 Hybrid dan kemukakan segala maklumat penting berkenaan dengan crossover ini.

1. Berbeza dengan dengan GWM Tank yang dibina dengan platform ladder frame, Haval H6 Hybrid dibina dengan menggunakan cesi monocoque yang dipanggil sebagai Lemon Platform. Dari segi saiz crossover ini datang dengan panjang 4633mm dan lebar 1886mm manakala jarak antara roda mencapai 2738mm
Sebagai perbandingan, Haval H6 adalah sama saiz dengan crossover segmen C seperti Proton X70, Mazda CX-5 dan juga Nissan X-Trail tetapi menang dari aspek jarak antara roda. Jarak kelegaan permukaan jalan ialah 180mm, cukup untuk kegunaan harian.

2. Haval H6 Hybrid akan dikuasakan dengan enjin 1500cc petrol dengan turbo bagi menjana 148 kuasa kuda dan 230Nm tork. Bagi motor elektrik, ia akan menjana sehingga 174 kuasa kuda dan 300Nm tork, menjadikan kuasa gabungan motor dan enjin sehingga 240hp dan 530Nm tork
Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 8.5 saat manakala halaju tertinggi ialah 185km/jam. Untuk penggunaan petrol, bacaan rasmi ialah sekitar 19.23km bagi setiap liter petrol

3. Haval H6 menggunakan sistem transmisi 2 kelajuan Dedicated Hybrid Transmission yang dibangunkan dan dihasilkan sendiri oleh GWM. Transmisi ini membenarkan enjin beroperasi sebagai pengecaj bateri bagi mengecaj bateri sebesar 1.8kWh dengan semua kuasa dihantar pada roda depan.
Haval H6 akan bergerak pada kelajuan perlahan dengan menggunakan motor elektrik dan enjin petrol akan mula digunakan secara terus pada kelajuan 80km/jam ke atas. Namun jika kuasa bateri mencukupi, enjin akan dimatikan dan Haval H6 akan bergerak dengan menggunakan motor elektrik walaupun pada kelajuan tinggi

4. Dari segi rekaan depan, Haval H6 menggunakan rekaan crossover moden berbanding dengan GWM Tank. Jeriji depan menggunakan rekaan yang hampir sama digunakan oleh Mercedes dan juga Peugeot, lampu depan LED dengan teknologi matrix dan juga rim 19 inci warna hitam berkilat dengan tayar bersaiz 225/55
5. Untuk kemasan dalaman, unit yang ditayangkan adalah unit yang bakal menjengah ke pasaran Malaysia ditawarkan dengan 3 tona berbeza, hitam sebagai warna asas, disulam dengan warna putih beige dan juga kemasan krom dengan warna emas tembaga. Pada pandangan penulis, ia nampak mahal dan pada masa sama moden.

Paparan meter digital menggunakan skrin bersaiz 10.25 inci manakala paparan skrin multimedia menggunakan saiz 12.3 inci. Tombol gear menggunakan butang rotari, lengkap dengan brek parkir elektrik, ciri autohold, butang ubahsuai kusyen di bahagian sisi, pengecas tanpa wayar serta pembesar suara Harman Infinity
Terdapat 2 poin USB di bahagian belakang, perehat tangan dan juga cermin panaromic. Haval H6 juga menawarkan ruang kargo sebesar 600 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 1485 liter. Agak menakjubkan juga memandangkan bahagian belakang turut digunakan untuk menyimpan bateri hibrid.

7. Sistem keselamatan merangkumi kamera 360, brek kecemasan automatik, sistem pemanduan adaptif, sistem amaran lintasan belakang, Lane Change Assiste dan juga 6 beg udara. Haval H6 Hybrid menerima penarafan 5 bintang oleh Australian NCAP selepas diuji pada tahun 2023



