RASMI: KTM 390 DUKE, 250 DUKE KINI DI MALAYSIA – DARI RM22,500
KTM Malaysia dengan rasminya melancarkan dua barisan model popular untuk pasaran tempatan menerusi KTM 250 Duke dan 390 Duke 2024.
Bagi tahun 2024, kedua-dua model ini hadir dengan enjin dan casis baharu sekaligus menjadikan 390 Duke dan 250 Duke kekal pesaing utama segmen naked bawah 400cc.
Enjin
Menurut KTM, enjin satu silinder LC4 pada kedua-dua model telah dinaik taraf secara signifikan dengan 390 Duke kini dikuasakan enjin 399cc (berbanding 373cc sebelum ini) yang menawarkan 45hp dan 39Nm.
Sementara itu, 250 Duke pula berhijrah dari DOHC kepada SOHC sekaligus mempertingkatkan nisbah kuasa kepada berat.
Kedua-dua model ini juga menawarkan klac slipper, sistem ‘ride-by-wire’ dan fungsi Quickshifter+ secara standard.
Sementara itu, KTM telah menaik taraf casis 390 Duke dan 250 Duke kepada gabungan steel trellis (kerangka utama) dan aluminium bagi ‘sub-frame’. Swingarm baharu pula menempatkan kedudukan penyerap hentak di bahagian tepi sekaligus membolehkan tempat duduk yang lebih rendah dengan kotak udara yang lebih besar.
Selain itu, KTM turut melengkapkan 390 Duke dan 250 Duke dengan ‘triple clamp’ baharu sekaligus meningkatkan kecekapan kawalan.
Suspensi dan brek
KTM 390 Duke generasi terbaru kini menawrakan fork depan WP Apex 43mm boleh laras (compression dan rebound) serta penyerap hentak WP Apex Separate Piston di bahagian belakang boleh laras (preload dan rebound). Bagaimanapun, 250 Duke guna pakai fork WP Apex 43mm tidak boleh laras dengan penyerap hentak WP Apex Emulsion boleh laras pra-beban sahaja.
Pakej brek pula merangkumi kaliper brek ByBre tunggal yang dipadankan bersama cakera 320mm depan dan 240mm belakang.
Elektronik
KTM bermurah hati untuk memberikan pakej elektronik mirip jentera berkuasa tinggi pada 390 Duke dan 250 termasuk ‘ride-by-wire’, lampu LED, panel meter TFT pada 390 Duke dan LCD digital pada 250 Duke. Kedua-duanya juga dilengkapi dengan fungsi Supermoto ABS secara standard.
Namun, KTM 390 Duke buat pertama kalinya dilengkapi dengan ‘ride mode’ (Street dan Rain) dan cornering MTC. Skrin juga boleh ditukar kepada mod Track yang membuatkan bacaan ‘tachometer’ lebih besar selain ‘lap timer’, dan tetapan MTC dan ABS.
Menariknya, KTM turut melengkapkan 390 Duke dengan fungsi Launch Control.
Harga
Menurut KTM Malaysia, KTM 390 Duke 2024 boleh didapati pada harga RM35,800 sementara 250 Duke pula ditawarkan pada RM22,500.
GALERI: KTM 250 DUKE
GALERI: KTM 390 DUKE