
MOTOSIKAL ELEKTRIK TERBAKAR, LELAKI DI THAILAND NYARIS MAUT
Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal elektrik yang ditunggangnya terbakar di Phuket, petang semalam, lapor portal berita Thaiger.
Wichuthat Chotchuang, 28, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian pukul 5.20 petang (waktu tempatan) itu.
Kejadian berlaku ketika Wichuthat dalam perjalanan menuju ke utara apabila dia melihat asap keluar daripada motosikalnya.
Bertindak pantas, dia berhenti dan turun daripada motosikalnya serta beredar untuk menyelamatkan diri. Walaupun orang ramai berusaha memadamkan api, percubaan mereka hanya sia-sia.
Jentera bomba dari Perbandaran Srisoonthorn telah dipanggil ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran, lapor akhbar The Phuket News.
Wichuthat berkata, motosikalnya yang baru berusia setahun berfungsi seperti biasa sehingga menunjukkan tanda-tanda terlalu panas.
Tidak lama selepas itu, asap mula keluar dari sekeliling motosikalnya, mendorongnya untuk memeriksa sebelum segera beredar. – AGENSI