Buletin

GWM TANK 400 SERBA BAHARU DILANCARKAN DI CHINA – HARGA SEKITAR RM165K

Jenama Tank di bawah Great Wall Motor (GWM) kini melancarkan versi terkini Tank 400, membawa penambahbaikan menyeluruh pada rekaan luaran, dalaman serta teknologi bantuan pemanduan pintar, namun masih mengekalkan rangka tangga (ladder-frame) dan pilihan enjin pelbagai jenis.

Dari segi dimensi, SUV lasak ini kini berukuran 4,964mm panjang, 1,970mm lebar, 1,905mm tinggi dengan jarak roda 2,850mm.

Secara keseluruhan, model baharu ini sedikit lebih lebar dan tinggi berbanding versi sebelumnya, memberikan rupa yang lebih gagah dan stabil di jalan.

Reka bentuk hadapannya menampilkan gril lebih besar dengan dua palang krom melintang, lampu utama berbentuk poligon, serta bampar baharu yang diserikan dengan kemasan hitam di sekitar ruang lampu kabus.

Bahagian sisi pula tampil lebih agresif dengan trim rivet terdedah pada lengkung roda dan tapak sisi yang berbeza mengikut varian, sama ada automatik atau tetap.

Di belakang, tayar ganti masih digantung pada pintu but, kini dengan penutup dan lencana rekaan baharu.

Masuk ke dalam kabin, paparan tengah kini menggunakan skrin sentuh 15.6-inci resolusi 2.5K dengan sistem operasi terkini Coffee OS generasi ketiga yang disertai pembantu suara pintar Coffee GPT.

Kluster instrumen digital 12.3-inci serta paparan head-up display (HUD) turut disediakan, manakala tuil gear kini digantikan dengan jenis tombol batang bagi gaya lebih moden.

Untuk varian lebih tinggi, kerusi Nappa berlubang dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan lapan titik tiga tahap, manakala bahagian belakang menawarkan skrin hiburan 15.6-inci, peti sejuk terbina 5.4 liter, langsir manual serta sistem audio 14 pembesar suara.

Pilihan enjin merangkumi tiga kategori — petrol, diesel dan plug-in hybrid (PHEV).

  • Varian petrol: enjin 2.0L turbo dengan sistem hibrid ringan 48V, menghasilkan 185kW dan 385Nm, digandingkan transmisi automatik 9 kelajuan.
  • Varian diesel: enjin 2.4L turbo dengan 137kW dan 490Nm, turut menggunakan transmisi 9AT.
  • Varian PHEV Hi4-T: gabungan enjin 2.0L turbo dan motor elektrik 130kW bersama bateri 37.1kWh, menawarkan jarak elektrik 105km dan pengecasan pantas 103kW.
  • Varian PHEV Hi4-Z: menggunakan sistem dua motor elektrik (215kW dan 240kW) serta bateri 59.05kWh, mampu bergerak sehingga 200km dalam mod elektrik dengan sokongan pengecasan 163kW.

Menariknya, varian Smart turut disertakan teknologi Coffee Pilot Ultra, iaitu sistem bantuan pemanduan tahap tinggi yang menggunakan lidar Hesai ATX di bumbung dan kamera sekeliling, membolehkan fungsi Navigation-on-Autopilot (NOA) di lebuh raya dan bandar, selain sistem parkir automatik pelbagai jenis.

Di pasaran China, Tank 400 bersaing dengan model seperti Beijing BJ60 dan Fangchengbao Baobao 5, dengan harga bermula sekitar 239,800 yuan (anggaran RM165,000).

Google ads
Back to top button