Buletin

HONDA CARI BALIK RASA ‘FUN TO DRIVE’ DENGAN TEKNOLOGI DARI PRELUDE!

Honda terus mengorak langkah ke arah masa depan mesra alam dengan memperkenalkan platform generasi baharu yang bakal menjadi asas kepada barisan model hibrid akan datang.

Melalui bengkel khas Automotive Technology Workshop, jenama Jepun itu mendedahkan bahawa platform ini akan digunakan untuk model popular seperti Civic, HR-V, CR-V dan Accord.

Platform baharu ini direka dengan fokus kepada ketegaran casis yang lebih tinggi untuk meningkatkan ketepatan pengendalian, di samping pengurangan berat hampir 90 kilogram berbanding struktur sedia ada.

Menurut Honda, gabungan ini bukan sahaja menjadikan pemanduan lebih responsif dan menyeronokkan, tetapi juga meningkatkan kecekapan bahan api.

Menariknya, kepakaran Honda dalam bidang robotik turut diaplikasikan melalui sistem baharu dipanggil Motion Management System, yang membantu kestabilan dan tindak balas stereng.

Ia turut digandingkan dengan versi terkini Agile Handling Assist serta ciri Pitch Control, menjadikan kenderaan lebih stabil di pelbagai jenis permukaan jalan.

Platform ini juga direka secara modular, dimana lebih 60 peratus komponen dikongsi antara model, sekaligus menjimatkan kos pembangunan dan mempercepatkan pengeluaran.

Ujian Awal: Civic Prototaip

Honda turut memperlihatkan sebuah mule car Civic yang diuji menggunakan asas baharu ini. Walaupun masih menggunakan badan Civic semasa, perubahan pada bahagian hadapan dan bampar yang lebih lebar jelas menunjukkan penyesuaian untuk menguji rangka dan sistem baharu.

Bahagian fender yang lebih menonjol pula menunjukkan laluan roda yang lebih lebar, manakala rekaan ekor yang kekal dengan dua paip ekzos memberi bayangan kepada potensi prestasi lebih tinggi.

Kuasa dijangka datang daripada gabungan enjin petrol 2.0 liter dan motor elektrik, menawarkan prestasi lebih bertenaga serta penjimatan bahan api lebih baik.

Menariknya, Honda bakal memperkenalkan sistem S+ Shift yang diambil daripada model Prelude — satu teknologi yang meniru sensasi pertukaran gear melalui perubahan tork dan bunyi, meskipun sistem transmisi sebenar tidak digunakan.

Menurut Honda, ia bertujuan mengembalikan rasa “driving engagement” yang sinonim dengan jenama Honda.

Ciri Sama Untuk EV Kecil Super-One

Ciri “gear palsu” ini juga akan digunakan dalam model elektrik kecil Super-One, yang diperkenalkan di Japan Mobility Show.

Model kompak itu akan mempunyai simulasi tujuh kelajuan, kawalan bunyi aktif serta mod pemanduan “Boost”. Ia dibina di atas platform ringan berasaskan siri N, dengan bateri di bawah lantai dan reka bentuk lebih lebar untuk kestabilan.

Super-One dijangka tiba di Jepun mulai 2026, sebelum diperkenalkan di Eropah dan pasaran Asia lain.

Visi Jangka Panjang Honda

Menjelang tahun 2050, Honda menyasarkan neutral karbon sepenuhnya untuk semua kenderaan dan operasi globalnya. Selain itu, syarikat juga menetapkan matlamat besar, iaitu sifar kemalangan maut melibatkan motosikal dan kereta keluarannya di seluruh dunia.

Dengan pendekatan berlapis antara inovasi teknikal dan keutamaan keselamatan, Honda bukan sekadar mengejar masa depan elektrik, mereka mahu memastikan setiap kenderaan kekal seronok dipandu, seperti zaman kegemilangan Prelude dahulu.

Google ads
Back to top button