Buletin

GT-R R35 ADA DNA LORI ISUZU!

Pada zahirnya, sukar membayangkan bagaimana sebuah jentera prestasi tinggi seperti Nissan GT-R R35 boleh dikaitkan dengan lori dagangan ringan seperti Isuzu NPR.

Namun, di sebalik perbezaan dunia antara kereta sports dan lori kabin itu, tersembunyi satu fakta menarik yang hanya muncul selepas hampir dua dekad.

Menurut satu perkongsian tular oleh pengguna X (Twitter) bernama @trucknakanohito, sekitar 80 peratus daripada pasukan pembangunan GT-R generasi R35 sebenarnya terdiri daripada bekas jurutera Isuzu, khususnya dari bahagian kenderaan penumpang.

Peranan utama mereka? Sistem transmisi dan suspensi, dua aspek yang menjadi antara kekuatan utama GT-R sewaktu ia dilancarkan pada penghujung 2007.

Pada mulanya, dakwaan itu kelihatan sukar dipercayai. Namun, ia tidak kekal sebagai khabar angin lama apabila disahkan sendiri oleh ketua jurutera R35, Kazutoshi Mizuno.

Menurutnya, para jurutera tersebut sebenarnya berasal dari bahagian lori Isuzu dan tidak memiliki pengalaman dalam membangunkan kereta berprestasi tinggi. Tetapi dengan latihan berstruktur, semangat kerjasama dan dedikasi tinggi, mereka berubah menjadi jurutera bertaraf dunia dalam masa hanya satu setengah tahun.

Mengapa Nissan memilih jurutera lori? Adakah kekurangan tenaga pakar pada waktu itu? Tiada jawapan rasmi.

Namun apa yang pasti, hasilnya membuktikan keputusan itu bukan satu kesilapan. GT-R R35 mendapat pujian meluas atas dinamik pemanduan serba mantap dan transmisi automatiknya yang pantas, ciri yang masih relevan walaupun lebih 15 tahun berlalu.

Malah, enjin V6 3.8 liter twin-turbo yang menjadi nadi utama GT-R turut dikenali kerana dipasang dalam makmal tertutup khas, menyerupai bilik bersih industri semikonduktor.

Apa pula masa depan untuk nama GT-R? Ada spekulasi mengatakan generasi R36 bakal tampil sebagai hibrid, malah mungkin juga sepenuhnya elektrik. Namun sehingga kini, tiada pengesahan rasmi.

Satu hal yang pasti, jika Nissan perlukan pasukan kejuruteraan luar biasa untuk projek seterusnya, mungkin Isuzu dan jurutera-jurutera lori mereka, masih lagi ada sesuatu untuk ditawarkan.

Google ads
Back to top button