
HARGA RON97 NAIK 37 SEN KEPADA RM4.31 SELITER BERMULA ESOK HINGGA 18 MEI 2022
Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 37 sen seliter kepada RM4.31 seliter untuk tempoh bermula 12 Mei hingga 18 Mei.
Harga runcit petrol RON95 dan diesel bagaimanapun kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter dalam tempoh tersebut.
Kementerian Kewangan memberitahu, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.
Biarpun harga pasaran bagi kedua-dua produk itu meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan, seperti mana yang dapat dilihat pada harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. – MalaysiaGazette