
TOYOTA CAMRY 2022, LEBIH BERKUASA & LEBIH MUDA
Ketika Toyota Camry XV70 dilancarkan pada penghujung tahun 2018, harga yang ditawarkan ialah sekitar RM 189,900 dengan satu varian sahaja iaitu 2.5V. Ketika ini Toyota Camry dipasang dengan enjin 2.5 2AR-FE dan kalau dinilai dalam aspek teknologi, agak ketinggalan berbanding dengan enjin 2.0 6AR-FSE yang lebih moden varian terdahulu
Walaupun enjin 2.5 2AR-FE menawarkan 181 kuasa kuda dengan teknologi pemasaan injap dual VVT-i, ia agak kuno jika dibandingkan dengan 6AR-FSE 2000cc yang datang dengan teknologi VVT-iW dan lengkap dengan sistem suntikan bahan api berkembar D-4S.
Sistem VVT-iW menawarkan penukaran kitaran enjin Otto kepada Atkinson dan sistem suntikan bahan api berkembar dengan penjimatan bahan api yang lebih baik. Jadi tidak hairanlah penggunaan bahan api Toyota Camry sebelum versi facelift ketika diuji adalah sekitar 11.8km per liter petrol dengan enjin2AR-FE.

Kalau ikutkan hati penulis, enjin 6AR-FSE ini sebenarnya sudah mencukupi walaupun menjana sekitar 165 kuasa kuda. Sayangnya enjin ini tidak ditawarkan pada Toyota Camry baru di Malaysia mungkin kerana ia tiada sesaran 2500cc dan hanya 1 2.5V varian sahaja yang ditawarkan ketika itu.
Pada bulan Jun 2019, harga Toyota Camry meningkat kepada RM 196,888 disebabkan nilai Ringgit yang semakin lemah dan Toyota Camry diimport dari Thailand. Jadi bila versi facelift diperkenalkan pada bulan Februari 2022, harganya meningkat kepada RM 199,110 sahaja.
Dengan pertambahan RM 2,222 sahaja anda mendapat enjin terbaru A25A-FKS Dynamic Force yang menjana 206 kuasa kuda dan 253Nm tork serta transmisi baru 8 kelajuan automatik. Rekaan luar Camry menerima rekabentuk jeriji depan baru, lampu belakang digelapkan dan rim aloi rekaan baru tampak lebih sporti dan ranggi

Rekaan dalam kabin dikemaskan lagi dengan penggunaan warna gelap menggantikan warna coklat, sedikit kemasan krom, paparan skrin terapung 9 terapung, sistem sambungan Android Auto/Apple Car Play, sistem audio JBL, 3 mode pemanduan dan penukar gear di belakang roda stering. Perubahan ini menukar suasana dalaman asal yang kelihatan agak “tua” kepada muda
Namun bahagian belakang menerima naiktaraf yang lebih besar. Penumpang belakang (atau bos besar) menerima perehat tangan yang dilengkapi dengan suis kawalan sesentuh bagi mengawal sudut penyandar kusyen belakang, pilihan radio, atau memainkan lagu pilihan mereka, menaikkan tirai hitam di belakang dan juga mengawal suhu penyaman udara.
Tolak saja kusyen penumpang depan ke arah depan dengan suis, nah anda mendapat sebuah sedan segmen D yang boleh bertukar kepada limosin. Toyota Camry facelift ini unik, anda nak pandu sendiri pun seronok. Nak duduk di belakang lagi seronok.

Jika dibandingkan dengan model lama, ia jauh lebih sporti. Ia ibarat sedan 2 dalam 1, sesuai untuk pemilik muda ataupun sebagai limo untuk bos. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan warna putih mutiara yang dipasang dengan rim bertona hitam ini adalah Toyota Camry paling bergaya setakat ini dengan alunan rekaan luar yang nampak sasa
Perubahan utama pada dinamik pemanduan yang dirasakan oleh penulis ialah naiktaraf pada sistem penyerap hentak yang menjadi lebih keras dan sporti. Mungkin 10-15% lebih keras. Ia tidak lagi membuai jika dipandu laju di jalan lurus, menjadi lebih tegap dan meyakinkan jika bermain di selekoh.
Lemparkan sahaja Camry ke masuk ke selekoh, turunkan satu atau dua gear dan kawal pedal minyak untuk memasuki selekoh dan memecut keluar dengan bergaya. Biarkan saja cesi TNGA mengawal pergerakan Camry dengan kemas di selekoh, langsung tak berbuai dan tayar tak berkokok.

Biasanya penulis menggunakan kaedah “straight line braking” sebelum memasuki selekoh. Brek dengan kemas di jalan lurus, baru masuk ke selekoh. Dengan Camry baru, abaikan sahaja peraturan ini. Nak kata keras sangat tak juga kerana sistem suspensi Camry berupaya menyerap lubang jalan raya Grik-Jeli yang bagaikan bulan dengan cemerlang.
Secara keseluruhan enjin Dynamic Force serba baru ini sangat cemerlang melainkan kadang kala ia terasa sedikit malas pada RPM rendah dan perlu diperah. Mungkin enjin ini direka untuk penjimatan bahan api. Tapi sebaik sahaja pedal ditekan, bunyi enjin menghasilkan bunyi sport bertenaga yang sedap didengar.
Apatah lagi anda menukar mode pemanduan kepada SPORT, maka respon enjin yang dihasilkan lebih padu dan berbisa. Jika tidak memotong di laluan berbukit, penulis biarkan sahaja Camry beroperasi dalam mode Normal. Mode ECO juga ada ditawarkan, tapi langsung tidak diusik oleh penulis.

Jika anda perlukan lebih kuasa, lepaskan seketika pedal dan tekan sekali lagi sehingga anda ia memasuki satu klik. Sebaik sahaja pedal melepasi klik ini, sekejap sahaja tork maksima sampai pada tayar. Kaedah ini mirip keadah kawalan pedal yang ada pada Vw Golf dan juga Arteon yang diuji oleh penulis baru – baru ini
Secara purata penulis mendapat bacaan bahan api sekitar 13.8km bagi setiap liter petrol dengan enjin Dynamic Force terbaru tanpa menggunakan mode ECO. Ia merangkumi perjalanan balik kampung yang sesak, sesekali memcut pada mode POWER dan dipandu mengikut halaju 90km/jam iaitu laju yang dibenarkan ketika Ops Sikap.
Aspek keselamatan juga telah dinaiktaraf dengan pakej Toyota Safety Sense 2.5 yang menerima ciri pemanduan adaptif yang lebih pintar dengan naiktaraf kepandaian buatan (AI) yang lebih baik. Ia akan melajukan kenderaan secara automatik jika ia mengesan isyarat membelok diberikan menandakan kita sedia memotong kenderaan perlahan

Sistem ini juga akan memperlahankan kenderaan jika ia mengesan input stering diberikan di kawasan selekoh, macam dipandu oleh manusia. Secara tidak langsung ia mengurangkan beban pemanduan penulis terutama ketika jalan sesak. Aktifkan sahaja sistem pemanduan adaptif ini ketika kesesakan jalan raya dan anda boleh rehat seketika.
Sistem brek kecemasan AEB juga dinaiktaraf dengan keupayaan mengesan pejalan kaki pada waktu malam dan penunggang basikal pada waktu siang. Malah AEB ini juga bekerjasama dengan Sistem Lintasan Amaran Belakang yang membrek jika ia mengesan kenderaan laju dari belakang sewaktu mengundur.
Camry juga dipasang dengan ciri Intelligent Clearance Sonar yang akan memberi amaran dan membrek sewaktu memulakan perjalanan sekiranya ia mengesan halangan. Beberapa kali juga penulis diberi amaran dengan sistem Intelligent Clearance Sonar, amaran brek AEB dan juga brek AEB belakang diaktifkan menunjukkan sistem ini lebih cermat dari kita.

Dalam aspek ergonomik, Toyota Camry memang mendapat skor penuh dan pengalaman penulis membuktikan selepas 7 jam memandu barulah penulis terasa lesu disebabkan kesesakan jalan. Bahagian kabin diberi perhatian yang baik dan sangat kedap bunyi dengan catatan bunyi 55 dB pada halaju 110km/jam.
Tiada gegaran yang pelik-pelik sampai pada kaki, tangan dan badan penulis sewaktu memandu. Jika anda behadapan dengan jalan tidak rata atau lubang yang besar, penyerap hentak Camry beraksi dengan cemerlang. Terasa sungguh sofistikated dan mahal sekali setiap kali ia melanggar jalan tidak rata.
Tapi alangkah baiknya jika kusyen pemandu diberikan ciri kipas penyejukan kerana cuaca Malaysia amat panas dan berbahang. Satu lagi komen penulis ialah resolusi kamera yang kurang bagus jika dibandingkan dengan kereta milik penulis. Mungkin pembekal di Thailand perlu menukar kamera dengan resolusi yang lebih baik

Sewaktu mengambil alih jawatan sebagai Presiden Toyota Motor Corporation tahun 2017 dulu, Akio Toyoda pernah berikrar dengan kata-kata keramat “no more boring car”. Maka lahirlah Toyota GR Supra, Toyota GT-86, Toyota GR Yaris, Toyota GR Corolla dan manifestasi ini sampai pada Toyota Camry.
Kalau dulu, Toyota Camry dikaitkan sebagai sebuah sedan yang selesa dan besar. Tak kurang dan tak lebih. Rekaan luarnya agak berpetak, sistem penyerap hentak khusus untuk keselesaan dan menjadi buruan orang-orang tua. Amat jarang sekali orang muda berminat dengan Toyota Camry
Tapi Toyota Camry XV70 terutama versi facelift tampil dengan rekaan yang lebih sporti, pemanduan yang lebih dinamik, ciri mewah ibarat Lexus, enjin Dynamic Force terbaru serta transmisi 8 kelajuan automatik meletakkanya dalam liga sedan yang lebih sporti dan diminati oleh golongan muda.

Cuma dengan harga RM 199,110 ini bukan semua mampu dicapai oleh golongan muda melainkan kita sama sama mengetap gigi dan air liur meleleh setiap kali Toyota Camry ini melintas di depan mata. Biarlah orang lain beli SUV, masih ada peminat setia kereta sedan seperti penulis yang kekal dengan kereta sedan 4 pintu.