Artikel Pilihan

HART 415T. ENJIN 1.5L 800HP. HEAD & BLOK BERCANTUM!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Umum mengetahui bahawa antara asas binaan sesebuah enjin adalah Kepala Selinder dan Blok. Di antara kepala selinder dan blok pula terdapat satu lapisan yang dipanggil sebagai gasket kepala selinder. Ini lah asas binaan bagi enjin 4-lejang pembakaran dalaman.

Jika enjin yang digunakan untuk tujuan perlumbaan, semestinya binaannya lebih kompleks dan material yang digunakan pula adalah dari bahan yang berkualiti tinggi. Namun asasnya tetap sama, iaitu kepala selinder, gasket kepala selinder dan blok.

Bagaimana pula jika blok enjin dibina sekali dengan kepala selinder ? Boleh ke ? Macam mana tu ? Wujud ke ?

Wujud Tuan-Tuan. Digunakan di kejohanan Formula One lagi. Mari kita semak kembali sejarah.

Sekarang kita pergi pada tahun 1984 di mana Ayrton Senna melakukan debut pertama beliau di dalam kejohanan Formula One. Pasukan pertama beliau adalah Toleman-Hart. Jentera yang digunakan pula adalah TG184 yang dilengkapi dengan enjin Hart 415T 1.5L.

Debut pertama beliau boleh dikatakan memberangsangkan. Beliau mendapat tempat ke-9 keseluruhan biarpun terpaksa menghadapi pelbagai masalah jentera. Juara keseluruhan pada edisi 1984 dimenangi oleh Niki Lauda.

Di atas saya ada sebut tentang enjin Hart 415T 1.5L. Sebenarnya enjin ini telah dicipta dan bersaing di kejohanan Formula One seawal tahun 1981 lagi. Akan tetapi, hanya pada edisi 1984 sahaja enjin ini mampu bersaing secara kompetitif. Pada edisi tahun 1981-1982 enjin ini lebih banyak mengalami kerosakan teknikal ketika di litar sekaligus membuatkan jentera tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

Pembangunan enjin ini bermula apabila Ted Toleman mengajak Brian Hart untuk memasuki dunia Formula One.

Siapa Brian Hart ni ?

Brian Hart ni merupakan merupakan seorang jurutera automotif dan pakar talaan enjin dari British. Beliau merupakan bekas pekerja firma talaan terkenal Cosworth. Selepas meninggalkan Cosworth, beliau membuka syarikat sendiri iaitu Brian Hart Limited dan kemudiannya diambil alih dan ditugaskan oleh Ford untuk melakukan kerja-kerja pembangunan enjin.

Antara kejayaan awal yang dikecapi adalah enjin Ford FVA talaan Brian Hart memenangi kejohanan European Formula 2 pada tahun 1971.

Pada edisi tahun 1972 pula, enjin Ford BDA talaan Brian Hart memenangi kejohanan. 2 tahun berturut-turut walaupun menggunakan enjin yang lain. Namun pada tahun seterusnya Ford mengambil keputusan untuk menarik diri dari kejohanan European Formula 2 setelah kemasukan BMW dan Renault. Goyang agaknya.

Tidak berputus asa, Brian Hart kemudiannya mencipta enjin sendiri yang dinamakan Hart 420R. Enjin ini memenangi kejohanan European Formula 2 pada edisi 1980 menerusi pasukan Toleman Group. Bukan setakat juara, naib juara pun dia sapu juga.

Kejayaan ini membuatkan bos Toleman Group iaitu Ted Toleman kemudiannya mengajak Brian Hart untuk memasuki dunia Formula One. Mana lah tahu ada tuah boleh menang.

Pasukan Toleman-Hart ditubuhkan.

Pada tahun 1981, hanya Renault dan Ferrari sahaja yang menggunakan enjin turbo. Itu pun dengan konfigurasi V6 1.5L. 6 selinder ye Tuan-Tuan. Namun Brian Hart menongkah arus dimana beliau memutuskan untuk menggunakan konfigurasi 4 selinder 1.5L dengan bantuan turbo.

Hasil daripada eksperimen beliau mendapati bahawa kuasa yang kuat dihasilkan oleh enjin 4 selinder ini akan menyebabkan gasket kepala selinder mudah rosak dan menyebabkan kebocoran sekaligus kehilangan kuasa.

Untuk mengatasi masalah ini, beliau memutuskan untuk membina sebuah enjin “Monoblock” ! “Takde dah masalah head terangkat” katanya

Kemudian terciptalah sebuah enjin yang dinamakan Hart 415T 1.5L. Untuk pengetahuan, enjin ini dibina dengan bajet yang sangat-sangat terhad. Ye lah kan, pasukan baru, mana ada bajet sangat.

Enjin ini dibina dengan kejuruteraan yang kompleks. Dengan binaannya yang sebegini, maka proses pemasangan kebanyakan komponen dalaman enjin hendaklah dibuat daripada bahagian bawah.

Antara cerita menarik ketika pembangunan enjin ini ialah Brian Hart tidak pernah melihat Turbo secara berdepan. Tak pernah lihat tak pernah pegang. Jauh sekali untuk memahami sistemnya. Namun disebabkan beliau seorang “Engine Builder” sejati, sekejap sahaja masa yang diambil untuk belajar.

Sekarang kita pergi ke spesifikasi enjin ini. Enjin ini mempunyai sesaran sebesar 1,494cc (1.5L) dan mempunyai 4 selinder. Nilai Bore X Stroke adalah 88mm X 61.5mm. Nisbah mampatan adalah pada kadar 6.7:1.

Binaan enjin ini sepenuhnya daripada alumunium. Terdapat 4 injap bagi setiap selinder dan digerakkan oleh sepasang aci sesondol. Aci sesondol pula dipacu oleh tali sawat pemasaan (Timing Belt). Enjin F1 pun guna “Timing Belt” ye Tuan-Tuan.

Sistem bahanapi enjin ini menggunakan “4-Throttle” bersama “Port Injection” dan tugasan penalaan diberikan kepada ERA Electronic Management System.

Turbo yang digunakan adalah dari Garrett dan “Boost” yang terhasil disejukkan oleh intercooler yang dibekalkan oleh syarikat Behr. Kedudukan turbo berada betul-betul di atas enjin.

Tekanan boost ditetapkan pada 4 bar ketika pusingan kelayakan dan 3.3 BAR ketika perlumbaan sebenar. Hasilnya ? 800hp pada 4 bar dan 700hp pada 3.3 bar. Rev maksimum adalah pada 11,000rpm.

1.5L 800hp. Berat jentera 540kg. Memeningkan angka-angka ni. Tak terjangkau dek akal. Hebat bukan ?

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Enjin ini gagal untuk berfungsi dengan baik pada edisi 1981 dan 1982. Enjin ini mengalami masalah turbo rosak setiap kali berentap di atas trek.

Sehinggalah pada tahun 1983, pasukan ini menerima suntikan dana. Hal ini membolehkan Brian Hart melakukan kerja-kerja menaiktaraf enjin ini supaya lebih tahan.

Turbo yang digukanakan ditukar kepada jenama Holset. Kedudukan turbo juga diubah ke bahagian tepi. Unit “Intercooler” juga diubah dengan menggunakan saiz yang lebih besar. Penalaan dilakukan semula.

Hasilnya, pasukan Toleman-Hart menduduki tangga ke-9 bagi kategori pengeluar. Kira okay lah ni. Tangga ke-9 daripada 20 pasukan bertanding. Edisi 1981 dan 1982 race pun tak habis. Nombor pun tak ada.

Pada edisi 1984 pasukan Toleman-Hart mendapat tuah yang dicari iaitu kemasukan Ayrton Senna ke pasukan. Ini lah dia jentera pertama Ayrton Senna Tuan-Tuan. Inilah enjin pertama yang beliau gunakan di dalam perlumbaan Formula One. Selebihnya adalah sejarah.

Ayrton Senna membantu pasukan Toleman-Hart ini menduduki tempat ke-7 bagi kategori pengeluar sekaligus menewaskan pencabar lebih hebat seperti Alfa Romeo dan Ford. Satu kejayaan hebat bagi pasukan kerdil.

Edisi 1984 merupakan edisi terbaik bagi enjin Hart 415T 1.5L bersama pasukan Toleman-Hart. Dibantu pula dengan kecermelangan Ayrton Senna. Tapi sayang. Semusim je Senna di pasukan Toleman-Hart. Beliau kemudiannya dirisik oleh pasukan Lotus-Renault.

Ketiadaan Ayrton Senna ternyata membuatkan pasukan Toleman-Hart terkapai-kapai. Hal ini kerana Ayrton Senna sahaja yang pandai menggunakan sepenuhnya kuasa yang diekstrak oleh enjin Hart 415T 1.5L ini dengan sempurna. Bagi dekat joki lain hancur jadinya.

Edisi 1985 merupakan edisi yang boleh dikatakan amat buruk. Walaupun enjin ini dipakai oleh 4 pasukan iaitu Toleman-Hart, RAM-Hart, Lola-Hart dan Spirit-Hart, namun semuanya tak habis race. Edisi 1986 merupakan edisi terakhir enjin ini beraksi di litar.

Jadi ini lah dia Tuan-Tuan sedikit sebanyak cerita tentang kewujudan enjin “Monoblock” serta sejarahnya. Terima kasih Brian Hart kerana mencipta sesuatu yang dikatakan mustahil.

Hart 415T 1.5L – 1981-1986

Google ads
Back to top button